Saturday, January 18, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemusnahan tanah lembap dorong kepupusan pepatung

    GENEVA – Pemusnahan tanah lembap menyebabkan kemerosotan pepatung di seluruh dunia, dengan satu perenam daripada spesies serangga berwarna-warni yang indah itu diancam kepupusan, kata ahli pemuliharaan kelmarin.

    Laporan daripada Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) membentangkan penilaian pertama bagi semua 6,016 spesies pepatung dan damselfly di seluruh dunia dan mendapati bahawa sekurang-kurangnya 16 peratus daripadanya berisiko menghadapi kepupusan.

    Penurunan serangga itu adalah simptom kehilangan meluas rawang, paya dan sungai yang mengalir bebas iaitu tempat ia membiak, didorong terutamanya oleh pengembangan pertanian tidak mampan dan pembandaran di seluruh dunia, kata IUCN dalam kemas kini ‘Senarai Merah’ spesies terancamnya.

    “Dengan mendedahkan kehilangan pepatung global, kemas kini Senarai Merah menggariskan keperluan mendesak untuk melindungi tanah lembap dunia dan keindahan kehidupan yang terkandung di dalamnya,” kata ketua pengarah IUCN, Oberle dalam satu kenyataan.

    “Secara global, ekosistem ini lenyap tiga kali lebih cepat berbanding hutan,” dia memberi amaran.

    Laporan yang diterbitkan tiga tahun lalu oleh Konvensyen Ramsar mengenai Tanah Lembap mendapati bahawa 35 peratus daripada tanah lembap dunia – termasuk tasik, sungai, paya dan tanah gambut serta kawasan pantai dan marin seperti lagun, bakau dan terumbu karang – telah lenyap antara 1970 dan 2015.

    Seekor pepatung hinggap di dahan sambil menunggu mangsa di kolam di Caracas. – AFP

    Tanah lembap mempunyai nilai yang unik. Ia menyimpan karbon, melindungi daripada banjir dan menawarkan habitat untuk satu daripada 10 spesies yang diketahui dunia.

    Berpotensi jauh lebih tinggi

    Keadaan spesies pepatung adalah penunjuk yang sangat baik untuk keadaan tanah lembap yang ia anggap sebagai rumah.

    “Ia sangat, sangat sensitif terhadap perubahan dalam persekitaran. Jadi itu adalah isyarat amaran awal kepada apa yang berlaku kepada sistem tanah lembap di seluruh dunia,” kata Craig Hilton-Taylor, yang mengetuai unit Senarai Merah IUCN, kepada AFP.

    Dia berkata tidak ada data yang mencukupi untuk menentukan sama ada sesetengah spesies pepatung yang dinilai terancam, memberi amaran jumlah sebenar yang berada di ambang kepupusan mungkin jauh lebih tinggi daripada 16 peratus.

    “Ia berpotensi lebih tinggi,” katanya sambil menganggarkan sebanyak 40 peratus mungkin terancam.

    Keadaan ini amat teruk di Asia Selatan dan Tenggara, di mana lebih satu perempat daripada semua spesies pepatung terancam, kata IUCN.

    Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh pembersihan kawasan tanah lembap dan hutan hujan untuk memberi ruang kepada tanaman seperti kelapa sawit, jelasnya.

    Racun perosak, bahan pencemar lain dan perubahan iklim juga semakin menjadi ancaman terhadap spesies pepatung di seluruh dunia dan merupakan ancaman terbesar kepada serangga berbadan berat di Amerika Utara dan Eropah.

    “Perubahan iklim adalah faktor utama,” kata Hilton-Taylor sambil menunjukkan bahawa “dengan peningkatan kekerapan dan intensiti kemarau, tanah lembap menjadi kering dan pepatung kehilangan habitatnya.”

    Lebih 40,000 terancam

    Dengan kemas kini terkini, Senarai Merah kini merangkumi penilaian 142,577 spesies haiwan dan tumbuhan, termasuk 40,084 yang dianggap diancam kepupusan.

    Ini menandakan kali pertama bilangan yang menghadapi risiko tertinggi telah melepasi 40,000, kata IUCN.

    “Ini benar-benar panggilan kepada dunia untuk meningkatkan dan melakukan lebih banyak lagi,” kata Hilton-Taylor.

    Beberapa spesies dalam senarai itu nampaknya semakin pulih dan telah dipindahkan ke kategori kurang berisiko dalam penilaian terkini, tetapi lebih banyak lagi dilihat semakin merosot.

    Antaranya ialah Pyrenean desman, mamalia separa akuatik kecil dengan muncung panjang yang hanya ditemui di sungai-sungai di Andorra, Perancis, Portugal dan Sepanyol, yang telah dipindahkan daripada ‘terdedah’ kepada ‘terancam’ dalam Senarai Merah. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda