Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan Jab. Bandaran KB dan Seria
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Sebuah syarikat reka bentuk tempatan telah didenda $1,000 kerana melonggokkan serpihan barang-barang binaan di kawasan letak kereta di Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Seria.
Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria (JBKBS), syarikat itu didenda di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil Penggal 30 dan diberikan tempoh tujuh hari untuk menjelaskan kompaun tersebut.
Kegagalan berbuat demikian boleh didakwa di mahkamah.
Bagi kesalahan membuang sampah atau sebarang kotoran di tempat awam di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil Penggal 30 Pindaan Baru 2021, pelaku yang didapati bersalah boleh didenda tidak lebih $1000 bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan kedua serta kesalahan berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang $3,000 dan tidak melebihi $9,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan individu.
Bagi badan-badan lain atau syarikat yang melakukan kesalahan di bawah bab yang sama boleh dikenakan denda kompaun tidak melebihi daripada $2,000 bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi $10,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang daripada $10,000 dan tidak melebihi $30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan dengan itu, JBKBS mengingatkan orang ramai dan syarikat-syarikat supaya membuang sampah di tempat-tempat yang disediakan dan tidak meninggalkan sebarang jenis sampah di tempat-tempat awam bagi menjaga kebersihan alam sekitar.
JBKBS juga mengingatkan pengusaha-pengusaha restaurant dan kedai-kedai makan supaya menjaga kebersihan perangkap minyak tidak membiarkan pencemaran yang boleh menyebabkan longkang kotor dan berbau. Bahagian Penguatkuasaan JBKBS juga akan sentiasa membuat pemantauan dan rondaan serta akan mengenakan kompaun kepada mana-mana individu atau syarikat yang membuang sampah di tempat awam, termasuk di tempat pusat pembuangan sampah yang hanya dikhaskan untuk penyewa/peniaga/penjaja di bangunan komersil kerajaan seperti Bangunan Pasarneka Kuala Belait dan Gerai Bunga Simpur.