Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Seorang penganggur dijatuhi hukuman 13 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan mencuri dan mempamerkan plat nombor kereta palsu.
Majistret Kanan Azrimah binti Haji Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Morsidi bin Haji Ya’akub, 33, yang mengaku bersalah kerana mencuri kunci kereta, kereta jenama Chevrolet Cruze dan mempamerkan nombor plat palsu pada kereta itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 2 dan 3 Februari 2017 di kawasan Tutong.
Menurut fakta kes, tertuduh memasuki rumah teres yang tidak berkunci di Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang pada 2 Februari dan mengambil kunci kereta yang diletakkan di atas meja.
Keesokan harinya, tertuduh sekali lagi pergi ke rumah teres yang sama dan mendapati ada kereta diletakkan di dalam garaj.
Tertuduh menghidupkan kereta tersebut menggunakan kunci yang dicurinya dan pergi ke kedai runcit untuk membeli penyembur cat hitam.
Dia kemudian menyembur bumbung kereta itu dan menukar plat nombor kereta itu dengan plat palsu yang ditemuinya di Tutong.
Pemilik rumah yang juga pemilik kereta membuat laporan pada 4 Februari sebaik menyedari keretanya hilang.
Tertuduh diberkas pada 5 Februari di Kampung Penabai di mana polis berjaya mendapatkan semula kereta tersebut.