Kena 14 bulan penjara serang lelaki, ugut polis

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Seorang lelaki tempatan, 32, telah dijatuhi hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan menyerang seorang lelaki dan mengugut dua Anggota Polis Tambahan (APO).

Adi Farid Riswandi bin Idris, yang juga merupakan seorang peniaga yang menyewa petak jualan di Pasar Pelbagai Barangan Gadong pergi ke pasar tersebut pada jam 2 pagi pada 17 Jun, namun ia ditutup untuk dibersihkan.

Dia kemudian memanggil seorang lelaki warga Bangladesh yang ketika itu membersihkan kawasan tersebut tetapi dia tidak menghiraukan defendan. Defendan merasa marah, lalu mendekati lelaki itu dan menumbuk di bahagian mukanya dan terus berlalu pergi.

Pada jam 3 pagi hari yang sama, defendan pergi ke pos polis di kawasan tersebut dan meminta daripada APO 7173 untuk mendapatkan nombor telefon APO 7171.

Pada awalnya APO 7173 menolak dan memarahi defendan bahawa APO 7171 sebelumnya telah memberi amaran kepadanya untuk tidak merokok di Pasar Pelbagai Barangan Gadong.

Defendan kemudian mengancam APO 7173 untuk merosakan keretanya jika dia tidak memberikan nombor tersebut, menyebabkan APO 7173 menyerahkan nombor telefon APO 7171 kepada defendan.

Defendan kemudian menghantar lima kiriman suara melalui WhatsApp kepada APO 7171 untuk bergaduh dan mengancam nyawanya serta memberi amaran kepadanya jika dia tidak muncul di tempat kerja.

Perkara ini terus dilaporkan kepada pihak polis yang kemudiannya membawa kepada penangkapan defendan.

Defendan didapati tidak bekerjasama sepanjang proses kes tersebut sehingga dia hadir semasa perbicaraan di mahkamah.