Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 DIS – Mahkamah Majistret hari ini mengarahkan seorang lelaki tempatan membayar denda $40,000 selepas dia mengaku bersalah memiliki rokok seludup.
Tertuduh, Sofian bin Rosli berdepan hukuman penjara 14 bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Dalam pendengaran kes, pendakwa kastam memaklumkan Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid bahawa tertuduh memandu di sepanjang jalan di Kampung Menengah pada jam 5:30 petang pada 20 Ogos lalu apabila polis menahan dan memeriksa keretanya.
Anggota polis menemui 50 karton rokok seludup pelbagai jenama semasa pemeriksaan tersebut, membawa kepada pendakwaan ke atasnya.