Kena 6 tahun bunuh rakan senegara

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Seorang lelaki warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas mengaku bersalah kerana menyebabkan kematian rakan senegaranya.

Kausar Uddin pertama kali didakwa atas tuduhan membunuh mangsa, tetapi pada 29 Jun lalu menukar tuduhannya dengan niat menyebabkan kematian dan mengaku bersalah. Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Haji Abdul Latiff dan Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli mengemukakan peristiwa yang membawa kepada kematian mangsa.

Menurut mereka, pada tahun 2016, tertuduh yang bekerja sebagai pembersih dan mangsa pula bekerja dalam sektor pembinaan, bersetuju membantu empat rakan tertuduh kembali ke Bangladesh bagi permohonan visa untuk memasuki Brunei.

Tertuduh mengumpulkan $17,000 daripada rakan-rakannya dan menyerahkannya kepada mangsa untuk memproses permohonan visa.

Keempat-empat rakan itu kemudian mendapati bahawa mereka telah diberikan visa palsu dan mereka hanya berurusan dengan tertuduh, yang tidak dapat mengembalikan wang meskipun sudah memintanya daripada mangsa.

Mangsa bagaimanapun menafikan telah menerima wang tersebut dan mencetuskan kemarahan tertuduh yang kemudiannya meminta mangsa membawanya ke Sungai Teraban dengan alasan menemui rakannya pada 27 Mei 2016.

Pada petangnya, mereka merancang untuk menemui rakan mangsa terlebih dahulu, tetapi tertuduh meminta untuk pergi ke pantai dekat klinik lama.

Di sana, tertuduh keluar dari kereta, mengambil sebilah pisau yang ditemuinya di dalam kereta itu dan berjalan ke arah mangsa dan menikamnya di perut semasa masih duduk di tempat pemandu.

Mangsa cuba untuk melarikan diri dan merayu agar tidak dibunuh namun tertuduh meragut kolar dan mengelar lehernya.

Tertuduh membuang pisau tersebut ke dalam semak dan menghapuskan kesan darah di seluarnya. Dia kemudian berjalan kaki ke rumah rakannya dan bermalam di sana.

Pada keesokan paginya, tertuduh pergi ke Kuala Belait, menaiki bot ke Sungai Teraban dan melarikan diri ke Miri.

Pada pagi yang sama, seorang lelaki yang hendak keluar memancing, menemui kereta penuh darah, memaklumkan kepada ketua kampung dan membuat laporan polis. Polis tiba di tempat kejadian dan menemui mayat mangsa.

Polis memberkas tertuduh pada 27 November 2016 de-ngan bantuan daripada pasukan Polis Diraja Malaysia.

Tertuduh, diwakili oleh Peguam Bela Haji Mansur bin DP Haji Abdul Latif dan S. Rozaimarlenny DSLJ Haji Abdul Rahman, dalam dokumen rayuan pengurangan hukuman mengatakan tertuduh diprovokasi oleh mangsa yang menengkingnya dan enggan memulangkan wang. Tertuduh turut melahirkan rasa kesalnya hari ini.

Ketua Hakim Dato Seri Paduka Steven Chong, ketika mempertimbangkan hukuman, mengatakan tertuduh sepatutnya tidak bertindak sendiri dengan membalas dendam dan terdapat perancangan teratur olehnya.

“Rayuan mangsa kepada tertuduh untuk belas ihsan tidak didengari, menyebabkan dia diserang teruk menggunakan senjata berbahaya, membawa kepada kecederaan ke bahagian tubuhnya sehingga membawa maut. Tertuduh kemudian menghapuskan bukti yang mengaitkannya dengan jenayah itu sebelum meninggalkan mangsa dan melarikan diri dari negara ini,” tambah ketua hakim, menekankan faktor yang semakin memburukkan lagi kes.

Mahkamah mengurangkan hukuman awal sembilan tahun kepada enam tahun selepas tertuduh mengaku bersalah dan mengambil kira hukuman reman yang telah dijalaninya.