Kena kompaun $5,000 gara-gara tiada lesen pembina sah

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Orang ramai dinasihatkan untuk memastikan syarikat yang melaksanakan kerja-kerja pembinaan mempunyai lesen pembina yang sah dan berdaftar dengan Kementerian Pembangunan dengan mempunyai kategori kerja bersesuaian.

Nasihat itu dikeluarkan Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) dalam kenyataannya hari ini setelah mengeluarkan kompaun $5,000 terhadap Syarikat Pembangunan Sambasjaya, baru-baru ini, kerana tidak mempunyai lesen pembina yang sah dan melaksanakan aktiviti pembinaan di bawah Seksyen 43(3) Perintah Kawalan Bangunan 2014.

Syarikat berkenaan telah diberikan tempoh masa 14 hari untuk menjelaskan kompaun tersebut.

Kenyataan menegaskan, sebarang kemajuan yang dilaksanakan termasuk ubahsuai dan tambahan hendaklah mematuhi Perintah Kawalan Bangunan 2014, Peraturan Kawalan Bangunan 2014, Peraturan Kawalan Bangunan (Pindaan) 2018, piawaian dan garis panduan masa ini dan maklumat lanjut boleh diperolehi di laman www.abci.gov.bn.

Pegawai penguatkuasa ABCi semasa menjalankan pemeriksaan. – Gambar serahan ABCi