Kenaikan drastik pengguna telefon bimbit

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Telefon pintar pada hari ini sudah dianggap sebagai barangan keperluan kerana ia bukan saja medium komunikasi sebaliknya menjadi tempat untuk mengetahui maklumat semasa, produktiviti tugasan harian selain komunikasi antara individu sehingga kepada kelompok besar.

Menurut perangkaan tahunan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, bagi tempoh lima tahun kebelakangan (2016 hingga 2021) secara kumulatif, pengguna telefon bimbit bagi kategori prabayar lebih banyak jika dibandingkan pasca bayar dengan perbezaan yang sangat besar.

Jumlah pengguna telefon bimbit berubah setiap tahun mungkin kerana adanya beberapa produk syarikat pembekal perkhidmatan yang telah diberhentikan atau promosi baharu.

Bagi penggunaan jalur lebar tetap bermula 2016 hingga Julai 2021, secara kumulatif jumlah pengguna adalah meningkat dari setahun ke setahun dengan jumlah paling tinggi adalah pada 2020 yang mencatatkan kenaikan 30.72 peratus berbanding 2019.

Ini adalah disebabkan impak dari pandemik COVID-19 di mana penggunaan Internet dijadikan keutamaan contohnya untuk pembelajaran kanak-kanak sekolah dan mengimbas kod QR bagi menggunakan aplikasi BruHealth.

Kanak-kanak sekolah kini juga menggunakan telefon bimbit bagi tujuan pembelajaran secara dalam talian sepanjang wabak COVID-19.

Bagi jalur lebar mudah alih pula, jumlah kumulatif tidak menentu dari setahun ke setahun, mungkin disebabkan promosi produk ataupun penutupan produk dari syarikat telekomunikasi yang terdapat di negara ini.

Trend ini juga selaras dengan langganan per 100 penduduk. Jumlah tertinggi adalah pada 2019 dengan mencapai 139.7 peratus.

Bagi landline pula, secara keseluruhannya, penggunaannya di negara ini juga semakin meningkat dari setahun ke setahun.

Ini juga selaras daripada trend langganan per 100 penduduk.

Kenaikan yang paling drastik adalah pada 2020 yang bertepatan dengan pengenalan Syarikat Unified National Networks (UNN) Sdn Bhd. Sehingga Julai 2021, jumlah pelanggan yang menggunakan landline adalah 111,168 dengan 24.5 peratus langganan per 100 penduduk.