Saturday, August 13, 2022
24 C
Brunei

Kenaikan harga gandum jejas hidangan asas pasta di Itali

-

ROM – Hidangan tradisional Itali – pasta, yang terdapat dalam pelbagai bentuk telah menjadi semakin mahal sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dan tanda-tanda menunjukkan bahawa trend itu akan berlarutan.

Sama ada spageti, lasagna atau ravioli, hampir semua jenis pasta yang dibuat menggunakan gandum, dan terutamanya gandum durum, dijual lebih mahal hari ini berbanding beberapa bulan yang lalu, dan ini menelan perbelanjaan yang besar daripada belanjawan makanan kebanyakan keluarga.

“Sepanjang tahun lepas, harga gandum dan bahan mentah lain yang kami gunakan untuk membuat pasta kami telah meningkat sekurang-kurangnya 70 peratus,” kata Antonio Gentile, pemilik bersama Pastificio D’Aniello, pembuat pasta mewah di Gragnano, tenggara Naples kepada Xinhua.

Gentile berkata tahun lepas sahaja, syarikat itu menaikkan harga asasnya daripada 5 euro (AS$5.25) sekilogram kepada 6 euro iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus.

Ini secara langsung telah mengurangkan margin syarikat berdasarkan harga yang dijual.

Seorang jurujual meletakkan ravioli di atas pinggan di Rom, Itali. – Xinhua
Sama ada spageti, lasagna atau ravioli, hampir semua jenis pasta dibuat menggunakan gandum, terutamanya gandum durum, dijual lebih mahal hari ini berbanding beberapa bulan yang lalu. – Xinhua
Pasta pelbagai jenis dijual di salah sebuah kedai di Rom. – Xinhua

“Kami cuba untuk tidak menaikkan harga terlalu banyak, tetapi jika keadaan berterusan seperti sekarang, kami mungkin perlu menaikkan harga sekali lagi sebelum akhir tahun ini,” kata Gentile.

Di pasaran antarabangsa, gandum durum meningkat lebih daripada dua kali ganda dalam tempoh 12 bulan yang lalu, begitu juga dengan trend harga makanan asas.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (FAO) yang berpangkalan di Rom melaporkan dalam Indeks Harga Makanan bulanannya bahawa harga makanan global mencapai paras tertinggi sepanjang masa pada Mac sebelum menurun sedikit pada April.

Walau bagaimanapun, trend kejatuhan ini telah berubah sejak itu.

Pemantauan dan Analisis Harga Makanan (FPMA) FAO mengatakan pelbagai faktor telah mendorong kenaikan harga gandum dan makanan asas lain.

Pertama, harga bahan api yang melonjak di tengah-tengah krisis Ukraine, dan faktor kedua ialah Rusia dan Ukraine kedua-duanya pengeksport utama gandum.

Amerika Syarikat (AS) dan Kanada juga merupakan antara sepuluh pengeluar gandum terbesar dunia, tetapi eksport mereka telah dilanda musim kemarau baru-baru ini di sana.

India adalah satu lagi pengeluar gandum terkemuka, tetapi pengeluarannya pada 2022 berkemungkinan menurun disebabkan gelombang panas baru-baru ini. Buat pertama kali dalam beberapa tahun, tanaman gandum global diunjurkan jatuh pada 2022.

Di Itali, kenaikan harga pasta dan makanan asas lain bukanlah petanda baik kepada pemulihan ekonomi negara yang rapuh.

Ekonomi Itali menguncup 0.2 peratus pada suku pertama tahun ini, berikutan pertumbuhan ekonomi pasca pandemik yang kukuh pada 2021, menurut Institut Perangkaan Negara (ISTAT).

Ahli ekonomi memberitahu Xinhua walaupun sekiranya negara mencatat pertumbuhan ekonomi untuk setahun penuh, ia akan terhakis oleh inflasi yang boleh mencecah 6 peratus.

Suruhanjaya Eropah berkata pada hari Isnin bahawa ia telah mengurangkan unjurannya untuk pertumbuhan ekonomi Itali kepada 2.4 peratus tahun ini, berbanding anggaran awal perkembangan sebanyak 4.1 peratus. – Xinhua

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

DXY disekat kritik rawatan herba COVID

BEIJING, 11 OGOS – Sebuah laman web perubatan China yang popular telah ditapis oleh pihak berkuasa kerana 'melanggar undang-undang dan peraturan yang berkaitan', beberapa...
- Advertisment -