Friday, April 19, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    Kenaikan harga tiket penerbangan segera disiasat – MOT

    KUALA LUMPUR, 15 APRIL – Kementerian Pengangkutan (MOT) telah meminta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan syarikat-syarikat penerbangan segera menjalankan siasatan secara terperinci dan menyeluruh mengenai isu kenaikan harga tambang penerbangan pada musim perayaan.

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata beliau memaklumkan perkara itu semasa mempengerusikan mesyuarat khas semalam, melibatkan MAVCOM, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan syarikat penerbangan domestik bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani masalah dan keluhan rakyat.

    Keluhan itu berhubung kenaikan harga tambang penerbangan antara Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak sempena Hari Raya Aidilfitri.

    Beliau berkata CAAM telah meluluskan pelanjutan waktu pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara di lapangan terbang yang diperlukan dan membantu syarikat penerbangan dalam perancangan penambahan kapasiti terutama menjelang musim perayaan.

    “MOT komited dan akan berusaha sedaya upaya untuk menurunkan tambang penerbangan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat. MOT melalui MAVCOM akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai hasil perbincangan dengan syarikat penerbangan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Wee, berdasarkan pemantauan yang dijalankan oleh MAVCOM, harga tambang penerbangan pada 30 April ini (tarikh perjalanan puncak bagi musim perayaan Hari Raya Aidilfitri) telah meningkat berbanding purata harga tambang penerbangan pada 2019.

    “Peningkatan ini adalah disebabkan oleh peningkatan kos operasi terutama kenaikan harga bahan api jet serta sumber terhad bagi syarikat penerbangan meningkatkan kapasiti sepenuhnya.

    “Mekanisme penetapan harga dinamik juga menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam proses menentukan harga tambang, bukan secara manual untuk menaikkan harga seperti yang didakwa,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...