Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Seramai 34 orang peserta terdiri daripada pegawai pengurusan pusat, kakitangan i-Ready dan pelatih telah menyertai Bengkel Retreat Pra-Perancangan Strategik anjuran Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH selama dua hari dari 11 hingga 12 September bertempat di pusat berkenaan di Gadong.
Pengurus SEAMEO VOCTECH, Awang Alias bin Abu Bakar berkata, “Kami secara kolektif akan membentuk masa depan pusat kami dengan merangka pelan hala tuju yang akan membimbing kami ke arah kecemerlangan TVET untuk lima tahun akan datang, iaitu Pelan Pembangunan Lima Tahun (FYDP) SEAMEO VOCTECH ke-7 bermula dari 2024 hingga 2029.
“Kami akan memanfaatkan pengetahuan kolektif dan visi kami untuk mereka bentuk pelan pembangunan yang akan memacu pusat ke arah kejayaan yang lebih besar,” katanya.
Antara objektif utama bengkel berkenaan adalah untuk mengenal pasti dasar dan inisiatif utama bagi meningkatkan kualiti TVET, di peringkat tempatan dan di rantau Asia Tenggara (SEA), serta pada skala global selain memastikan penetapan matlamat dan objektif yang jelas, boleh diukur dan dicapai untuk FYDP akan datang.
Bengkel retreat yang merupakan persediaan untuk bengkel perancangan strategik akan datang pada 2 hingga 3 Oktober ini menampilkan sesi interaktif, perbincangan dan bengkel yang bertujuan memanfaatkan kebijaksanaan dan kepakaran kakitangan pusat.
Para peserta secara kolaboratif boleh meneroka strategi untuk menangani cabaran, memanfaatkan peluang serta memacu pertumbuhan yang mampan.
SEAMEO VOCTECH kekal berdedikasi untuk menyediakan pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional berkualiti tinggi, mempersiapkan pelajar bagi mencapai kejayaan.
Hasil daripada bengkel ini akan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan pusat dan sumbangannya kepada komuniti dan industri.
