Kenal pasti pekerja transport operator dan domestic runner

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT Transport operator yang diberi kebenaran oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk keluar dan masuk ke negara ini semasa situasi COVID-19, disarankan dan diperlukan untuk mengenal pasti dan membezakan di antara pekerja-pekerja yang ditetapkan sebagai transport operator dan sebagai domestic runner.

Selain itu, pekerja-pekerja berkenaan yang dikhususkan sebagai domestic runner adalah diperlukan untuk didaftarkan di bawah syarikat tersebut.

Untuk memudah cara proses pendaftaran berkenaan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) telah membukakan pendaftaran bagi domestic runner secara dalam talian melalui laman web www.mtic.gov.bn/pendaftaran yang telah bermula kelmarin dan pendaftaran adalah percuma.

Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof menambah, maklumat yang diperlukan bagi pendaftaran ini adalah maklumat asas seperti nama penuh, nombor kad pengenalan pintar, nombor telefon bimbit, alamat rumah, alamat emel, nombor bilangan pendaftaran kenderaan.

Bagi mereka yang berkhidmat di bawah syarikat yang berdaftar juga diingatkan untuk memberikan nama syarikat masing-masing selain maklumat nombor BruHIMS dan status vaksinasi juga diperlukan untuk pendaftaran ini, tambah Yang Berhormat Dato semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Bagi melengkapkan proses pendaftaran, jelasnya lagi, domestic runners juga perlu membuat beberapa deklarasi yang menyatakan mereka menjalankan perkhidmatan domestic runner selain akan mematuhi undang-undang, peraturan dan garis pandu yang ditetapkan dibawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 serta undang-undang dan peraturan berkaitan lain yang berkuat kuasa di Negara Brunei Darussalam.

Setelah proses pendaftaran selesai, satu e-notifikasi (e-notification) akan dihantar menerusi e-mel kepada runner berkenaan.

Menurut beliau lagi, kementerian berkenaan juga akan memuat naik senarai domestic runner yang berdaftar di laman web MTIC, iaitu satu direktori yang mengandungi maklumat perhubungan domestic runner di negara ini untuk kegunaan sektor perniagaan dan orang ramai.

Sehubungan itu, sokongan dan peranan setiap domestic runner dan pihak-pihak yang berkenaan termasuk orang ramai adalah sangat diharapkan untuk menghormati strategi dan langkah-langkah yang akan dilaksanakan dalam membendung penularan jangkitan COVID-19.

Ini khususnya semasa negara berada dalam tempoh Operasi Pulih dan ini juga termasuk dengan mengatur rancangan penghantaran dan menyelesaikan tugasan masing-masing sebelum pukul 8 malam.

Domestic runner juga dinasihatkan dan disarankan untuk sentiasa bersedia dengan e-Notifikasi pendaftaran domestic runner yang dikeluarkan oleh kementerian berkenaan.

“Sebarang bukti transaksi seperti arahan majikan dan / atau perundingan penghantaran bersama pelanggan melalui whatsapp/e-mel atau mana-mana kaedah yang berkenaan”, jelasnya.

Terdahulu, beliau menjelaskan, domestic runner adalah mereka yang memberi perkhidmatan sama ada sepenuh masa atau separuh masa secara domestik di dalam negara.

Mereka merupakan individu yang memberikan perkhidmatan-perkhidmatan runners secara persendirian kepada orang awam, home based businesses ataupun perniagaan dari rumah dan syarikat-syarikat berdaftar seperti restoran dan lain-lain jenis perniagaan.

Selain itu, Individu yang bertugas sebagai pekerja di bawah syarikat-syarikat yang berdaftar untuk memberikan perkhidmatan-perkhidmatan runner dan juga pekerja yang ditugaskan untuk memberikan perkhidmatan penghantaran iaitu delivery services di bawah syarikat berdaftar seperti restoran-restoran, pasar raya atau perniagaan yang lain.