Kenal pasti pendekatan holistik atasi kekangan pemilikan peranti dalam kalangan pelajar

TAMBUNAN, 6 SEPT – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengenal pasti pendekatan lebih holistik dan komprehensif bagi mengatasi kekangan pemilikan peranti elektronik dalam kalangan pelajar untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian di rumah berjalan lancar pada masa akan datang.

Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata kaji selidik KPM berhubung pembelajaran dalam talian melibatkan 900,000 pelajar di seluruh negara mendapati sebanyak 36 peratus daripadanya tidak mempunyai sebarang peranti elektronik.

“Masih terlalu ramai pelajar yang tidak mempunyai sebarang peranti elektronik untuk digunakan dalam konteks pembelajaran di rumah termasuk pembelajaran secara dalam talian.

“Atas sebab itu, kami di KPM sedang melihat secara holistik pendekatan terbaik bagi membolehkan para pelajar mendapat akses sewajarnya sekali gus melaksanakan satu sistem menyeluruh yang dapat memberi manfaat optimum kepada golongan terbabit,” katanya.

Radzi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kupi-Kupi bersama warga pendidik, ibu bapa dan para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nambayan di sini, hari ini. – Bernama

Dr Radzi Jidin memperkatakan sesuatu kepada pelajar pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan Nambayan Tambunan pada Majlis Kopi-Kopi bersama Menteri Kanan Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Nambayan, kelmarin. – Bernama