Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Seramai 30 orang peserta dan 10 orang pemerhati yang terdiri daripada doktor, jururawat dan profesional kesihatan bersekutu dalam pelbagai bidang kepakaran dari keempat-empat daerah telah menghadiri Kursus Penilaian dan Pengurusan Mengenai Penderaan dan Pengabaian Kanak-kanak untuk Profesional Kesihatan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, kursus berkenaan diadakan selama dua hari iaitu 8 dan 9 Jun lalu itu berlangsung di Dewan Bankuet Jupiter, Hotel Starlodge, Kampung Jerudong.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penutup kursus dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Ang Swee Hui.
Kursus bermatlamat untuk meningkatkan kemahiran para peserta dalam mengenal pasti tanda-tanda penderaan dan pengabaian dalam kalangan pesakit kanak-kanak yang dirawat secara pesakit luar dan pesakit di dalam wad, menghasilkan maklumat sejarah perubatan yang mengambil kira tahap perkembangan yang bersesuaian dan memenuhi keperluan kanak-kanak serta menjalankan pemeriksaan fizikal yang sistematik dan peka terhadap keperluan kanak-kanak yang mengalami penderaan.
Ia juga bermatlamat untuk memantapkan tatacara pencatatan kes kanak-kanak yang dipercayai mengalami penganiayaan semasa menjalankan praktis klinikal.