Kenali budaya Jepun

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Dengan harapan untuk mengenali lebih dekat budaya dan kehidupan masyarakat Jepun, lima orang penuntut universiti dari Negara Brunei Darussalam mengadakan lawatan sambil belajar ke Jepun selama tujuh hari bermula hari ini hingga 14 Disember.

Kumpulan penuntut dari empat buah universiti berkenaan ialah Dayang Nurul Syefa Hayati binti Maserwan dari Universiti Brunei Darussalam, Dayang Naderah Nabelah @ Derah Haji Mohd Faderin Lee dan Awang Muhammad Hassanul Ariffin bin Haji Ibrahim dari Universiti Teknologi Brunei, Dayang Nur Firuz Najibah binti Haji Mohd Yussof dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan serta Dayang Nurul Amalina binti Haji Ahmad dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali, yang menyertai lawatan sambil belajar atas jemputan Persatuan Persahabatan Jepun-Brunei.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, untuk mengucapkan selamat berlepas kepada kumpulan penuntut dalam program lawatan sambil belajar berkenaan ialah Pengurus Besar Pejabat Brunei, Mitsubishi Corporation, Masaki Fujiwara.

Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Dayang Nurul Syefa Hayati bagi mewakili rakan-rakannya selaku ketua kumpulan, menyatakan bahawa lawatan sambil belajar itu memberikan peluang kepada mereka untuk menyaksikan sendiri bagaimana gas asli cecair dari Brunei digunakan di Jepun melalui lawatan ke Tokyo Gas.

Di samping itu, beliau berkata, mereka juga berpeluang untuk mengadakan lawatan ke National Science Museum serta akan mengenali lebih dekat budaya dan kehidupan masyarakat Jepun.

Masaki Fujiwara (kiri) bergambar ramai dengan lima orang pelajar universiti dari Negara Brunei Darussalam yang berlepas menyertai Lawatan Sambil Belajar ke Jepun bagi Persatuan Persahabatan Jepun-Brunei (JBFA) 2019.

Menurut Dayang Nurul Syefa Hayati lagi, penyertaannya dalam lawatan itu, dapat memberikannya pengalaman yang amat berguna untuk mengembangkan dirinya untuk lebih berdikari serta membangunkan lagi keupayaannya sebagai seorang pemimpin selaku ketua kumpulan berkenaan.

Terdahulu, Masaki Fujiwara dalam temu bual bersama pihak media menyatakan bahawa lawatan sambil belajar itu memberikan peluang kepada para pelajar melihat dengan lebih dekat bagaimana kerjasama yang erat dalam bidang tenaga di antara Jepun dan Brunei dapat mengukuhkan hubungan persahabatan dan kerjasama kedua-dua buah negara.

Beliau juga yakin bahawa para pelajar akan dapat memahami lebih mendalam mengenai budaya masyarakat Jepun bukan sahaja menerusi lawatan ke beberapa buah tempat menarik di negara berkenaan tetapi menerusi interaksi mereka dengan masyarakat negara itu.

Para pelajar, tambahnya lagi, juga berpeluang untuk mempelajari mengenai usaha pemuliharaan tenaga Jepun, perkembangan teknologi dan industri automobil semasa lawatan mereka itu.

Semasa lawatan sambil belajar itu, rombongan berkenaan bukan sahaja berpeluang untuk mengadakan lawatan ke Tokyo Gas bagi melihat sendiri bagaimana gas asli cecair Brunei digunakan di Jepun tetapi mereka juga berpeluang untuk mempelajari mengenai teknologi pembuatan dan teknologi penjimatan tenaga yang dilaksanakan di Jepun.

Pada masa yang sama, mereka juga berpeluang untuk menyaksikan sendiri dan mengenali lebih dekat budaya Jepun menerusi interaksi sosial mereka dengan masyarakat Jepun semasa lawatan mereka itu nanti.