Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Kenali budaya Jepun

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 DIS – Orang ramai berpeluang untuk mengenali lebih mendalam gaya hidup dan budaya kontemporari Jepun semasa Festival Budaya Jepun 2022 yang akan diadakan di Pusat Membeli-belah Times Square pada 10 dan 11 Disember ini.

    Festival dua hari itu dianjurkan oleh Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Times Square, Yayasan Japan, Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat Kementerian Pendidikan, Persatuan Alumni Brunei Jepun (BAJA), Alumni Rangkaian Pertukaran Pelajar dan Belia Jepun-Asia Timur (JENESYS), Alumni Bekas Peserta Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (BERSATU) dan Persatuan Persahabatan Brunei Jepun (BJFA) Cawangan Universiti Brunei Darussalam (UBD) serta Universiti Teknologi Brunei (UTB).

    Ia dibukakan kepada kunjungan orang ramai bagi memperkenalkan gaya hidup dan budaya Jepun tradisional dan kontemporari serta untuk mempromosikan bahasa Jepun menerusi persembahan pentas dan petak pameran.

    Antara yang diketengahkan termasuk demonstrasi memasak makanan Jepun oleh cef Duta Jepun, Cef Fumihiro Shimizu, pembuatan mochi, pertandingan seni lukisan manga, tarian J-pop dan bengkel pencuci mulut oleh Cef Minoru Tsuruoka.

    Sementara itu, petak pameran akan mengetengahkan pelbagai acara permainan dan makanan, pelajaran kaligrafi tradisional Jepun dan taklimat bagi program-program pertukaran belia Jepun.

    Di samping itu, terdapat juga penampilan khas oleh empat orang pensyarah dari Urasenke Singapore, Tankoukai, bagi demonstrasi upacara teh Jepun yang asli.

    Tankoukai adalah pakar-pakar yang telah menyumbang kepada pemuliharaan budaya Jepun dengan menyampaikan keindahan sadou atau upacara teh Jepun serta etika yang berkaitan dengannya.

    Pada acara itu nanti, upacara sadou akan dikendalikan oleh Souchoku Nakabayashi yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang berkenaan di mana beliau akan menyampaikan ceramah mengenai sadou serta akan menyajikan teh kepada para peserta.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...