Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Masyarakat Islam Tatar yang sudah lama menetap di Poland lebih dari 600 tahun adalah salah sebuah masyarakat Islam yang terus memberikan sumbangan dan menikmati hak yang sama bersama penduduk lain di negara berkenaan.
Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Pengajian dan Operasi Kolej Perdagangan Laksamana (LCB), Bogusia Mischke dalam kata alu-aluannya di Majlis Perasmian Pameran The Tatars: Muslims in The Republic of Poland yang diadakan di Kolej Perdagangan Laksamana, Batu Satu, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian pameran berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan), di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah Duta Republik Poland ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Profesor Krzysztof Debnicki; Pengarah LCB, Haji Suhaimei bin Haji Awang Besar serta para jemputan khas.
Pameran The Tatars: Muslims in The Republic of Poland dibuka bagi memberi peluang kepada masyarakat di negara ini sekali gus memperkenalkan budaya komuniti Islam yang unik di Poland dan memperkenalkan sejarah tamadun Islam yang ada di negara itu.
Majlis kemudian menyaksikan perasmian pameran yang disempurnakan oleh Awang Wardi dengan diiringi oleh TYT Profesor Krzysztof Debnicki, Haji Suhaimei dan Bogusia Mischke, disusuli dengan menyaksikan pameran berkenaan.
Sementara itu, menurut TYT Profesor Krzysztof dalam kata alu-aluannya mengatakan sekali-pun jumlah masyarakat Tatar di Poland adalah kecil iaitu sekitar dua hingga tiga ribu orang namun mereka mempunyai peranan yang penting dalam sejarah negara berkenaan serta mempunyai budaya, makanan dan cara hidup unik mereka yang tersendiri.
Pameran tersebut mengetengahkan sejarah masyarakat Islam di Poland yang wujud sejak abad ke-14 di mana pameran itu disediakan oleh Muslim Religious Union di Poland.
Pameran itu dibukakan untuk kunjungan orang ramai bermula dari 16 April hingga awal bulan depan.