Kenali ciri-ciri mata wang kitani

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial,

Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), baru-baru ini telah mengadakan taklimat bertajuk ‘Kenali Mata wang Awda’ di Ibu Pejabat Bank Baiduri Berhad, Kiarong.

Menurut kenyataan yang diberikan AMBD, taklimat telah dihadiri oleh pegawai dan kakitangan Bank Baiduri Berhad yang mengendalikan urus niaga tunai setiap hari.

Semasa taklimat itu, AMBD telah mengongsikan mengenai Perintah Mata Wang, 2004, perundangan yang diperuntukkan untuk mentadbir mata wang dan duit syiling Negara Brunei Darussalam.

Selain itu, AMBD juga telah membimbing kakitangan bank dalam mengenal pasti ciri-ciri keselamatan yang ada pada mata wang Negara Brunei Darussalam dan

memastikan mata wang Negara Brunei Darussalam yang diedarkan atau diterima daripada orang awam adalah tulen.

Manakala itu, pihak PDB telah mengongsikan isu berkaitan dengan mata wang palsu termasuk kes-kes yang pernah terjadi di Negara Brunei Darussalam dan mengongsikan langkah-langkah yang perlu diambil jika mendapati mata wang yang disyaki palsu.

Dalam memastikan keyakinan orang ramai pada mata wang Negara Brunei Darussalam, AMBD secara berterusan menjalankan pelbagai inisiatif kesedaran seperti taklimat berkenaan yang memfokuskan kepada ciri-ciri mata wang Negara Brunei Darussalam yang mudah dikenali. AMBD juga ingin memastikan mata wang dan duit syiling yang diedarkan adalah berkualiti.

Orang ramai atau institusi yang ingin mengadakan taklimat kesedaran ini bolehlah menghubungi AMBD melalui talian 2388388 atau melalui e-mel info@ambd.gov.bn. Bagi maklumat lanjut, orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi AMBD melalui App Store dan Google Playstore; melayari laman sesawang AMBD di http://www.ambd.gov.bn atau dengan mengikuti AMBD di Instagram melalui @autoriti_monetari.

Taklimat yang diadakan di Ibu Pejabat Bank Baiduri Berhad, Kiarong. – Gambar dari AMBD