Kenali ikan sepihi lebih dekat

Popular dengan nama julukannya sebagai ikan ‘Imam’ di kalangan masyarakat tempatan, ikan Sepihi dengan nama saintifiknya Drepane Punctata juga dikenali sebagai Daun Baru di negara jiran adalah spesies ikan daripada keluarga drepaneidae.

Nama Inggerisnya pula dikenali sebagai Spotted Sicklefish, Batfish, Butterfish, Concertina Fish, Drepane, Jetto, Moonfish, Peppercorn, Silver Moonfish, Spotted Batfish, Spotted Drepane dan Spotted Moonfish.

Ikan yang mempunyai badan nipis lebar serta berwarna perak kehijauan dan bertompok hitam ini boleh ditemui di bahagian barat Indo-pasifik, dari Laut India hingga Laut Merah dan Selatan China ke bahagian utara Australia.

Ikan sepihi menjadikan kawasan pesisir pantai berdekatan dengan karang dan batu, muara dan sungai yang dasarnya berpasir dan berlumpur sebagai habitat utamanya, dengan suhu air antara 26 hingga 29 darjah Celsius. Ikan ini boleh ditemui dalam kelompok kecil atau sendirian.

Diet utama ikan sepihi yang bermulut kecil ini terdiri daripada anak-anak ikan kecil dan juga invertebrat seperti cacing, udang, siput dan lain-lain yang menghuni dasar sungai dan laut.

Ikan sepihi boleh membesar sehingga mencecah saiz maksimum 50sm panjang, dengan saiz biasanya kira-kira 25sm dengan berat antara 300 gram sehingga 1 kilogram.

Meskipun tidak dianggap sebagai sasaran utama bagi kebanyakan penggemar aktiviti memancing, namun kehadirannya sudah cukup untuk meriangkan hati si pemancing.

Daya juangnya tidak seberapa tetapi mampu membuat pecutan pendek lebih-lebih lagi bagi yang bersaiz besar.

Ikan sepihi menjadikan kawasan pesisir pantai berdekatan dengan karang dan batu, muara dan sungai yang dasarnya berpasir dan berlumpur sebagai habitat utamanya.