Kenali risiko masalah penglihatan

KUALA LUMPUR – Pandemik COVID-19 dan hubungan komunikasi yang majoritinya beralih secara dalam talian turut menarik perhatian masyarakat terhadap isu kesihatan mata.

Ini berikutan kebergantungan masyarakat tidak kira di peringkat usia kanak-kanak mahupun dewasa pada skrin telefon pintar, komputer serta komputer riba untuk urusan seharian yang secara tidak langsung memberi kesan kepada organ yang penting itu.

Lazim kita mendengar isu kanak-kanak yang berdepan masalah mata seperti rabun kerana terlalu lama terdedah dengan gajet malah orang dewasa mengalami ketegangan mata kerana berjam-jam menghadap skrin komputer.

Namun begitu, selain gajet, hakikat-nya masih terdapat beberapa faktor lain yang turut menyumbang kepada masalah penglihatan di semua peringkat usia, sama ada disedari ataupun tidak.

Faktor genetik

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), punca utama masalah penglihatan di peringkat global ialah rabun yang tidak dibetulkan, katarak, kemerosotan tisu makula disebabkan faktor umur, glaukoma, retinopati diabetes, kelegapan kornea dan trakoma yang disebabkan jangkitan bakteria.

Sebahagian peserta OKU cacat penglihatan mengikuti Bengkel Seni Sempena Hari Penglihatan Sedunia 2021 di Kompleks Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), Brickfields, – Bernama
Dr Azlindarita @ Aisyah Mohd Abdullah ketika ditemui Bernama. – Bernama

Pakar Perunding Oftalmologi Umum dan Kanak-Kanak, MSU Medical Centre Shah Alam, Dr Azlindarita @ Aisyah Mohd Abdullah berkata, terdapat pelbagai masalah penglihatan melibatkan anak damit dan kanak-kanak disebabkan faktor genetik dan bukan genetik.

“Kebanyakan masalah penglihatan yang melibatkan faktor genetik akan kelihatan sejak lahir atau pada usia enam bulan ke bawah. Selain rabun, terdapat anak damit yang mempunyai masalah katarak di mana refleks mata yang sepatutnya berwarna merah akan berwarna putih. Bagi anak damit yang ada masalah glaukoma pula, kornea mata yang sepatutnya jernih akan kelihatan kabur,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dr Azlindarita yang juga Penasihat Media Sosial Malaysian Advocacy for Myopia Prevention (MAMP) menambah, bagi faktor bukan genetik pula, ia lazimnya melibatkan anak damit yang lahir pramatang iaitu yang lahir kurang dari tempoh 32 minggu atau berat lahir kurang daripada 1.5kg di mana mereka ini berisiko tinggi mendapat masalah rabun jauh jika mengalami retinopati anak damit pramatang (ROP).

“Anak damit akan disaring sebelum dibenarkan pulang ke rumah lebih-lebih lagi yang dimasukkan ke Unit Penjagaan Rapi Neonatal (NICU) selepas lahir.

“Jika selepas saringan mereka disahkan tiada ROP, mereka tetap akan dipanggil untuk saringan setiap tahun bagi memastikan memang tiada masalah rabun,” katanya, menambah lazimnya golongan itu akan disaring sehingga usia enam atau tujuh tahun.

Satu kajian pada tahun 2005 mendapati kadar rabun kanak-kanak berusia tujuh tahun adalah 9.8 peratus manakala bagi kanak-kanak berusia 15 tahun pula adalah 34.4 peratus.

Pantau tahap rabun

Mengulas lanjut, Dr Azlindarita berkata, kebiasaannya anak damit yang baru lahir mempunyai tahap kerabunan pada 800/+8.0 dan ia akan berkurang menjadi 0 pada usia tujuh tahun.

“Anak damit yang normal lahir dengan tahap kerabunan 800/+8.0. Pada usia setahun apabila mata semakin berkembang ia akan berkurangan kepada +2.5 dan menjelang usia tiga tahun ia akan turun menjadi +1.0. Pada usia tujuh tahun tahap kerabunan sepatutnya menjadi 0, namun jika mereka mengalami rabun jauh ia akan menjadi -1.0 atau -2.0 dan seterusnya.

“Sebagai contoh seorang kanak-kanak pada usia lima tahun, tahap kerabunannya ialah -1.0, jadi kanak-kanak itu tidak normal (penglihatan) dan memerlukan pemantauan lebih kerap dan mungkin cermin mata (bergantung kepada nasihat pakar),” katanya.

Beliau berkata rabun biasa berlaku terbahagi kepada tiga iaitu jauh, dekat dan silau dan mereka yang mempunyai genetik rabun lebih berisiko menghadapi masalah itu pada awal usia.

Antara ciri-ciri yang boleh dikenal pasti pada anak damit atau kanak-kanak yang rabun ialah mereka cenderung untuk mengecilkan mata apabila melihat sesuatu yang jauh, akan membawa objek seperti buku atau mainan dekat dengan mereka serta menonton televisyen pada jarak dekat.

Selain itu, mereka yang mengalami rabun tahap teruk juga akan mudah terjatuh kerana tidak nampak benda-benda yang ada di persekitaran.

“Terdapat juga anak damit dan kanak-kanak yang menghidap rabun jenis posisi kepala tidak normal. Apabila menonton televisyen mereka lebih selesa menelengkan kepala ataupun muka kerana pada posisi itu penglihatan mereka menjadi lebih jelas.

“Kanak-kanak berusia empat tahun ke atas mungkin lebih mudah memberitahu ibu bapa mereka masalah yang dihadapi di samping tingkah laku dan prestasi mereka di sekolah juga boleh memberi petunjuk kepada ibu bapa dan guru berbanding keadaan sebelum menghadapi masalah penglihatan,” jelasnya.

Gajet kekal penyumbang

Menekankan risiko gajet terhadap anak damit dan kanak-kanak pada awal usia, Presiden Persatuan Optometris Malaysia (AMO), Ahmad Fadhullah Ahmad Fuzai berkata, ia sememangnya boleh membantutkan perkembangan emosi dan mental golongan itu di sam-ping berisiko rabun.

Beberapa kajian tempatan mendapati, pendedahan terhadap skrin gajet termasuk telefon dan televisyen sebelum usia dua tahun hanya memberi kesan negatif kepada anak damit.

Di samping itu, American Optometric Association turut menyatakan pendedahan cahaya biru yang berlebihan boleh menyebabkan kerosakan retina.

“Kesan pendedahan skrin pada awal usia boleh menyebabkan gangguan penglihatan, kenaikan berat badan, perkembangan terbantut dan mengalami masalah konsentrasi.

“Bagi kanak-kanak berumur antara dua hingga tiga tahun, pendedahan kepada televisyen secara pasif dan berpanjangan serta tanpa interaksi ibu bapa amatlah tidak digalakkan kerana pada usia ini mereka perlu membina tahap sensori temporal (deria) dan spasial (ruang) mereka. Justeru, penglihatan yang baik sangat diperlukan.

“Pada usia tiga tahun, pendedahan terhadap skrin membantu kanak-kanak membezakan antara yang realiti dan maya dan pada tempoh ini mereka dapat menyalin dan meniru apa yang dilihat,” katanya, menambah ibu bapa dinasihatkan tidak mendedahkan anak-anak pada skrin lebih dari satu jam.

Diet, ubat-ubatan

Diet yang tidak seimbang atau memilih makanan turut berisiko menyumbang kepada masalah penglihatan.

Individu yang kekurangan zat makanan sebagai contoh mereka yang kecanduan alkohol, vegetarian tegar, menjalani pembedahan gastrointestinal (lazimnya pembedahan bariatrik) atau mengalami gangguan makan seperti anoreksia nervosa.

Ahmad Fadhullah menambah, diet tidak seimbang boleh mengakibatkan seseorang kekurangan vitamin B12, vitamin D, selenium, mempunyai kadar zink yang tinggi, penurunan kepadatan tulang dan neuropati optik iaitu gangguan penglihatan yang disebabkan keracunan akibat zat tertentu.

“Seseorang individu bukan sahaja boleh menghadapi masalah penglihatan melalui pemakanan yang diambil sebaliknya kegagalan mengambil makanan yang diperlukan tubuh juga boleh membawa kepada masalah penglihatan. Keadaan itu yang disebut sebagai nutrional optic neuropathy menyebabkan kegagalan fungsi saraf optik kerana diet yang tidak sihat memberi kesan buruk kepada sel saraf.

“Ianya tidak memberikan rasa sakit namun secara perlahan-lahan boleh menyebabkan seseorang hilang peng-lihatan dengan cepat bermula dengan masalah penglihatan warna,” katanya.

Turut menyentuh mengenai pengambilan ubat-ubatan yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) terutama yang mudah diperoleh secara dalam talian, beliau berkata ia boleh membawa kepada masalah penglihatan yang lebih serius.

Ini kerana ubat yang tidak berdaftar kebiasaannya mengandungi kandungan steroid yang tinggi bagi tujuan memberi kesan kelegaan sementara.

“Apabila ubat ini digunakan tanpa nasihat pakar ia boleh menyebabkan berlakunya glaukoma akut dan boleh membawa kepada kebutaan kekal.

“Selain itu, ubat titis yang digunakan secara berleluasa yang kononnya sesuai untuk melegakan pelbagai jenis ketidakselesaan mata turut dibimbangi boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna. Justeru, pihak berkuasa perlu membendung penjualan ubat-ubatan yang tanpa kelulusan KKM ini,” katanya.

Kesan sampingan lain

Sementara itu, Doktor Kesihatan Pekerjaan yang juga Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Dr Shawaludin Husin berkata, masalah keletihan atau ketegangan mata yang dihadapi oleh golongan pekerja boleh membawa kepada isu lebih besar termasuklah masalah postur badan atau ergonomik berikutan mata hanya tertumpu pada skrin untuk tempoh yang lama.

“Walaupun puncanya adalah mata, namun ia boleh membawa kepada masalah kesihatan lain apabila badan seolah-olah ‘terkunci’ apabila perlu fokus melakukan sesuatu kerja sehingga mengabaikan postur tubuh yang sesuai.

“Antaranya termasuklah isu sakit belakang, pinggang, kepala dan sebagai-nya kerana banyak masa diperuntukkan di hadapan skrin. Ada juga yang mengalami gangguan tidur kerana kesan cahaya biru sebenarnya turut mengganggu keseimbangan hormon pada tubuh seperti penurunan melatonin apabila terdedah kepada cahaya.

“Tubuh manusia sepatutnya menjadi mengantuk atau letih ketika gelap dan terbangun apabila cahaya terang namun pencahayaan buatan mengakibatkan perkara ini sebaliknya seterusnya menyebabkan gangguan hormon berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhullah menambah memakai cermin mata hitam atau cermin mata yang mengandungi alat penapis UV juga dapat mengelakkan risiko katarak sejak peringkat awal.

“Penggunaan gajet berlebihan boleh mengakibatkan mata menjadi stres. Amalkan langkah 20-20-20 yang merujuk kepada selepas 20 minit buat kerja dekat (di hadapan skrin), rehatkan mata dengan melihat objek yang jauh sekitar enam meter, selama 20 saat.

“Lakukan pemeriksaan mata secara berkala, setahun sekali bagi memastikan kesihatan mata di tahap optimum di samping membolehkan intervensi awal penyakit mata dikesan bagi mencegah gejala lebih serius,” katanya. – Bernama