Saturday, December 14, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kenang jasa bakti warga emas

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE), Pertubuhan Wargamas, para sukarelawan dan rakan strategik KKBS telah mengadakan Majlis Tahlil dan Doa Kesyukuran bagi memperingati Hari Antarabangsa Warga Emas (HAWE) ke-31, hari ini yang dihadiri lebih 200 orang.

    Majlis secara maya tersebut dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, para penghulu dan ketua-ketua kampung serta rakan-rakan strategik KKBS seperti ahli-ahli PKWE, Pertubuhan Wargamas, Sukarelawan Projek Memeduli Warga Emas, Demensia Brunei, Heart Volunteer, Majlis Kesejahteraan Masyarakat, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Persatuan Siswazah Wanita dan Persatuan Meraih Berkah.

    Antara tujuan majlis adalah sebagai tanda kesyukuran bagi mengenang dan menghormati jasa bakti golongan warga emas terhadap keluarga, komuniti dan negara serta mengambil berat dan mengutamakan tanggungjawab sosial dalam memastikan penjagaan kesihatan dan kebajikan khususnya bagi golongan yang berisiko tinggi termasuk warga emas, demi memastikan golongan ini akan sentiasa dipeduli dan tidak ketinggalan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan tahlil yang dipimpin oleh Pengurus PKWE Tutong, Haji Hamaffi bin Mohd Yassin dan diikuti dengan bacaan Doa Kesyukuran, Doa Menghindari Penyakit Wabak COVID-19 dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Yang Di-Pertua Pertubuhan Wargamas, Haji Bakar bin Haji Mohd Don.

    Acara sambutan tahun ini adalah sejajar dengan tema Sambutan HAWE tahun ini iaitu ‘Kesaksamaan Digital untuk Semua Peringkat Umur’ dan membuktikan bahawa golongan warga emas di negara ini juga arif dengan transformasi digital.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa menghadiri majlis tahlil bagi memperingati Hari Antarabangsa Warga Emas ke-31 yang diadakan secara maya kelmarin. – Gambar serahan KKBS
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda