Kenang jasa mantan ketua Kampung Kapok

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Feb – Bagi meraikan jasa mantan Ketua Kampung Kapok, Haji Awang Marali bin Haji Ahmad yang telah berkhidmat sebagai ketua kampung selama lebih 10 tahun, majlis meraikan persaraan beliau telah diadakan, malam kelmarin.

Majlis Mengenang Jasa Mu yang berlangsung di rumah Pemangku Ketua Kampung Kapok, Pengiran Haji Ibrahim bin Pengiran Haji Timbang itu telah dihadiri oleh Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim selaku tetamu kehormat majlis.

Pada majlis itu, tetamu kehormat dalam ucapannya mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan bagi Haji Awang Marali atas jasa beliau sepanjang dilantik menjadi ketua Kampung Kapok.

Menurut beliau, Haji Awang Marali telah berjaya mengharumkan nama Kampung Kapok khasnya apabila berjaya membawa kampung tersebut bagi menerima anugerah Perak pada Anugerah Kampung Cemerlang ketiga pada 2012/2013.

“Penganugerahan ini adalah sebagai tanda pengiktirafan kepada komitmen dan dedikasi serta kepimpinan beliau dalam menyatupadukan penduduk kampung dan menggembleng jentera pentadbiran majlis perundingan kampung dalam sama-sama membangun, menjayakan dan mengambil serta memikul tanggungjawab pembangunan kampung dari segi pengurusan, pembangunan kemasyarakatan, kesejahteraan dan perekonomian di peringkat akar umbi,” jelas beliau.

Majlis turut menyaksikan penyampaian cenderamata sebagai tanda kenang-kenangan kepada Haji Awang Marali yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Awang Misle bergambar ramai bersama mantan ketua kampung serta ahli Majlis Perundingan Kampung Kapok.