Kenanga Research jangka BNM kekalkan OPR 3.25 peratus

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetarinya hari ini, kata Kenanga Research.

Ia berikutan kebimbangan utama BNM untuk mengekalkan pertumbuhan dan kestabilan harga susulan pertumbuhan ekonomi domestik yang dijangka menyusut menjelang akhir tahun ini, kata firma penyelidikan itu.

“Kami menjangka aliran keluar berterusan wang panas dan ancaman penyusutan lagi nilai ringgit berikutan dolar US dijangka terus mengukuh, tidak akan mendorong BNM menaikkan kadar faedah seperti yang dilakukan pasaran sedang pesat membangun seperti Indonesia dan Filipina.

“Malahan, inflasi domestik kekal rendah kerana Indeks Harga Pengguna terbaru hanya meningkat sedikit sebanyak 0.3 peratus tahun ke tahun pada September, walaupun Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan pada bulan yang sama,” katanya.

Semalam BNM mengumumkan rizab antarabangsa asing menyusut AS$1.3 bilion atau 1.3 peratus bulan ke bulan kepada AS$101.7 bilion pada 31 Oktober berbanding AS$103 bilion pada bulan sebelumnya iaitu penurunan selama enam bulan berturut-turut.

“Walaupun tahap rizab antarabangsa kekal kukuh, keadaan tidak menentu yang meningkat akibat faktor luaran dijangka menjejaskan pertumbuhan dometik bagi bulan-bulan berikutnya. – Bernama