Kenangan belayar dengan kapal peronda angkatan laut pertama AMDB

Oleh Pehin Datu Penglima Kolonel (B) Dato Paduka Abdul Jalil bin Haji Ahmad

Pada 22 Julai lalu, Kapal Diraja Brunei (KDB) DarulEhsan telah belayar meninggalkan tanah air menuju Hawaii, Amerika Syarikat untuk ikut serta dalam Latihan RIMPAC 2020 atau ‘The Rim of the Pacific Exercise’.

Latihan ini merupakan satu-satunya latihan maritim antarabangsa terbesar di dunia yang dikendalikan oleh Angkatan Laut Amerika Syarikat.

Pelayaran menuju ke Hawaii dan seterusnya menyertai Latihan RIMPAC 2020 ini sudah setentunya akan dapat menguji kebolehan dan keberkesanan kapal KDB DarulEhsan dan anak-anak buah kapalnya. Penulis mendapati ia adalah satu tugas dan tanggungjawab yang amat berat.

Penulis terkenang pada satu ketika dahulu iaitu pada pertengahan tahun 1966, Pegawai Pinjaman British dan Pegawai Tempatan Askar Melayu Diraja Brunei (AMDB) ketika itu iaitu Kapten Awangku Ibnu bin Pengiran Haji Apong (sekarang dikenali sebagai Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basith bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong) telah berjaya membawa belayar balik tiga buah kapal ‘Armed Motor Launch’ Riverine Patrol Boat iaitu KDB Bendahara, KDB Kermaindera dan KDB Mahrajalela dibawah Unit Bot Seksyen, AMDB belayar dari Singapura ke Muara, Brunei Darussalam.

Pelayaran dari Singapura ke Muara, Brunei Darussalam mengharungi Laut China Selatan mengambil masa kurang lebih tujuh hari. Ini disebabkan kapal-kapal peronda pantai berkenaan terpaksa singgah berlabuh di perlabuhan Kuching, Sarawak, Malaysia untuk mengisi minyak dan air serta barang-barang keperluan kapal yang lain sebelum dapat meneruskan pelayaran ke Muara.

Bukan itu saja perkara-perkara seperti keadaan laut dan cuaca, serta kelajuan kapal juga akan diambil kira bagi menentukan jangka waktu pelayaran.

Keadaan cuaca di Laut China Selatan ini, menurut pengalaman penulis sendiri, cepat saja berubah di mana keadaan laut yang tenang akan menjadi bergelora diikuti dengan tiupan angin yang kencang pada bila-bila masa saja lebih-lebih lagi ketika musim tengkujuh.

Keadaan cuaca ini sudah setentunya akan memberi cabaran yang hebat kepada Pegawai-pegawai dan anak-anak buah kapal-kapal peronda pantai ini. Pada pertengahan tahun 60an, peralatan-peralatan ‘navigation’ pula tidak lah sebegitu canggih jika dibandingkan dengan peralatan kapal-kapal peronda moden yang berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Brunei pada masa ini.

Kapten Awangku Ibnu bin Pengiran Haji Apong (sekarang dikenali dengan Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basith bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong).
KDB Pejuang (Jenis Waspada).
KDB Kermaindera dan KDB Mahrajalela.

Untuk mendapatkan kedudukan kapal (position), pegawai dan anak buah kapal terpaksalah menggunakan ‘Bearing Compass’ dan ‘Range’ yang diperolehi melalui sistem Radar dan Gyro Compass.

Memandangkan pada ketika itu kapal-kapal peronda pantai tidak dilengkapi dengan Sistem GPS (Global Positioning System) maka kapal-kapal terpaksalah belayar dengan menggunakan kaedah ‘Dead Reckoning’ (DR) iaitu dengan mengambil kira haluan dan kelajuan kapal. Hala tuju arus lautan (ocean current) di sepanjang masa pelayaran mengharungi Laut China Selatan juga mestilah diambil kira.

Pegawai-pegawai dan anggota yang membawa balik kapal-kapal KDB Bendahara, KDB Kermaindera dan KDB Mahrajalela dari Singapura ke Muara, Brunei Darussalam telah menjalani latihan asas pelaut (basic seamanship) di Sekolah Marin di Labuan, Malaysia. Latihan-latihan ini juga merangkumi bidang kelasi, kejuruteraan, semboyan dan navigasi.

Dengan kelulusan persekolahan mereka yang agak terhad pada ketika itu dan juga memandangkan peralatan kapal-kapal peronda pantai yang serba kekurangan, penulis merasa kagum dan bangga dan turut tumpang gembira kerana wira-wira samudera ketika itu telah berjaya menganggotai kapal-kapal peronda pantai KDB Bendahara, KDB Kermaindera dan KDB Mahrajalela mengharungi Laut China Selatan dan merapat di Pangkalan Lama, Angkatan Laut Pertama di Muara dengan selamatnya.

Apa tah lagi kapal-kapal tersebut hanya bersaiz kecil, berukuran panjang hanya 45 kaki dan strukturnya diperbuat daripada kayu. Syabas dan tahniah diucapkan kepada kesemua mereka ini.

Mengambil kira akan serba kekurangan ini penulis merasa kagum terutamanya di atas ketabahan dan kecekalan hati dan semangat gigih mereka ini.

Terkenang juga penulis mengenai dengan pengalamannya membawa belayar KDB Waspada dari Muara, Brunei Darussalam ke Hong Kong di sekitar tahun 1981.

Kapal-kapal peluru berpandu jenis Waspada ini lebih canggih daripada kapal-kapal peronda pantai KDB Bendahara, KDB Kermaindera atau KDB Mahrajalela akan tetapi tidaklah begitu sofistikated jika dibandingkan dengan kapal-kapal peronda luar pantai jenis Darussalam yang dimiliki oleh Tentera Laut Diraja Brunei ketika ini.

Setelah selesai mengisi minyak, KDB Waspada dan KDB Pejuang belayar meninggalkan Teluk Manila Filipina mengharungi Laut China Selatan menuju haluan ke Hong Kong. Moral anak-anak buah kapal adalah di tahap yang tinggi, kerana mereka telah berpeluang berehat secukupnya semasa berada di Manila, Filipina. Jawatan penulis ketika itu ialah sebagai Penolong Pegawai Pemerintah KDB Waspada.

Di sepanjang pelayaran menuju Hong Kong kami menghadapi cuaca buruk yang berpunca daripada aktiviti taufan yang pada ketika itu melanda Laut China Selatan.

Ini menyebabkan tiupan angin menjadi kencang diikuti pula dengan pukulan ombak yang begitu kuat.

Dalam keadaan cuaca yang kurang mengizinkan ini moral anak-anak buah kapal akan turun dengan begitu cepat. Di sinilah para pegawai perlu memainkan peranan mereka untuk mempertahankan agar moral anggota-anggota mereka dikekalkan pada tahap yang dihasratkan.

Berdasarkan pengalaman penulis bagi tugas-tugas ini tidaklah semudah yang dijangkakan dan ianya memerlukan psikologi dan kesabaran. Berbagai-bagai rancangan diatur untuk anak-anak buah kapal bagi mengelakkan rasa bosan dan menghiburkan agar mereka dapat melupakan rasa mabuk laut dengan mengadakan berbagai aktiviti.

Setelah satu pertiga dalam pelayaran, pegawai pemerintah kapal hampir saja mengambil keputusan untuk berpatah balik ke Teluk Subic, Filipina iaitu Pangkalan Angkatan Tentera Laut Amerika Syarikat.

Bagaimanapun setelah bermuzakarah bersama Pegawai Pemerintah KDB Pejuang maka kami pun nekad untuk mengambil keputusan meneruskan saja pelayaran.

Selama dua hari penulis tidak mempunyai selera untuk makan disebabkan mabuk laut. Walaupun dalam keadaan sedemikian tanggungjawab tetap juga dilaksanakan.

Petugas-petugas memegang kemudi dan ‘Lookout’ hanya diarahkan untuk bertugas setiap 30 minit dan selepas itu mereka diarah untuk berehat dengan secukupnya.

Cuaca hanya beransur pulih apabila kami mula memasuki pelabuhan Hong Kong. KDB Waspada dan KDB Pejuang telah selamat merapat di HMS TAMAR, iaitu satu-satunya Pangkalan Tentera Laut Diraja British di Hong Kong.

Setelah dipukul ombak yang kuat di sepanjang pelayaran dari Teluk Manila, Filipina ke Hong Kong, para pegawai dan anak-anak buah kapal layak untuk diberi masa rehat dengan secukup-cukupnya sebelum memulakan lagi pelayaran balik ke Negara Brunei Darussalam melalui Iloilo, di Selatan Filipina.

Pelayaran dari Teluk Manila, Filipina menuju Hong Kong adalah satu-satunya pengalaman yang sangat-sangat mencabar bagi penulis dan setentunya ianya tidak akan mudah luput dari ingatan.

KDB Darulehsan tiba di Pangkalan Tentera Laut Diraja Brunei, Muara dengan selamatnya pada tanggal 25 September lalu. Pegawai dan anggota KDB Darulehsan telah bekerja keras dan berjaya sepenuhnya bagi melaksanakan Eksesais RIMPAC 2020.

Seterusnya KDB Darulehsan dengan bangganya telah dapat mengibarkan bendera Negara Brunei Darussalam di arena antarabangsa. Tambahan lagi pegawai-pegawai dan anak-anak buah kapal KDB DarulEhsan adalah terdiri daripada anak-anak tempatan orang-orang Brunei.

Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada KDB Bendahara, KDB Kermaindera, KDB Mahrajalela dan juga kapal-kapal jenis peluru berpandu KDB Waspada, KDB Pejuang dan KDB Seteria di mana pada satu ketika dahulu telah sama-sama dapat menabur bakti dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara.

Kapal-kapal peronda ini juga pada tahun 60an dan 70an sedikit sebanyak telah dapat mengharumkan nama negara di rantau ini.

Tentera Laut Diraja Brunei di masa kini mahu pun Angkatan Laut Pertama, AMDB di awal tahun penubuhannya telah pun berjaya sama-sama mengharumkan nama negara di persada dunia.

(Penulis adalah bekas Pemerintah Angkatan Tentera Laut Diraja Brunei)