Oleh Pehin Kolonel (B) Dato Paduka Abdul Jalil bin Haji Ahmad
Sambungan bahagian 1 & 2
Pada sebelah malam pula pegawai pemerintah kapal akan menjemput orang-orang kenamaan negara yang dilawati untuk berkunjung ke kapal bagi menghadiri majlis resepsi. Sebagai pegawai kadet kami diberi tugas untuk melayan tetamu-tetamu khas yang hadir pada malam itu, merupakan satu pelajaran dan pengalaman baharu bagi kami.
Majlis resepsi ini adalah bertujuan semata-mata bagi mengucapkan penghargaan dan terima kasih di atas layanan dan bantuan yang telah diberikan oleh negara hos. Dengan ini juga ianya dapat merapatkan hubungan silaturahim dengan negara yang dikunjungi.
Secara am saya melihat Malta sebuah pulau yang tua yang mempunyai banyak sejarah khusus peninggalan British dahulu. Ini jelas dapat dilihat melalui bangunan-bangunan era kolonial yang dibina oleh kolonial British pada satu ketika dahulu. Keramaian penduduk Malta adalah sama seperti negara kita yang terdiri daripada keturunan Arab, Itali dan British.
Dari Malta HMS Intrepid belayar menuju ke arah Timur iaitu ke pulau Cyprus. Latihan di laut akan terus saja dilaksanakan. Pada setiap hari, siang dan malam, kami akan belajar dengan perkara-perkara yang baharu atau sekurang-kurangnya menempuh dengan pengalaman yang baharu.
Dengan keramaian anak buah kapal HMS Intrepid, termasuk pasukan khas Komando Royal Marines, tidak dinafikan terdapat perkara-perkara yang melibatkan disiplin juga berlaku. Setelah dua pelabuhan dilawati terdapat sebilangan kecil anak-anak buah kapal telah didapati melanggar peraturan disiplin kapal seperti gagal menghadirkan diri untuk bertugas atau berkelakuan tidak senonoh atau engkar kepada hukuman dan seumpamanya. Kepada anak-anak buah kapal yang didapati bersalah akan diadu dan selalunya akan dijatuhkan hukuman denda tidak dibenarkan meninggalkan kapal apabila berada di pelabuhan.
HMS Intrepid tiba di Famagusta, Cyprus pada waktu subuh di mana anggota-anggota Komando Royal Marines diterbangkan menggunakan helikopter untuk memberi bantuan kepada Garison British yang berada di Cyprus. Ini adalah latihan bagi menilai kebolehan anggota Komando Royal Marines dalam memberikan bantuan kepada mana jua negara-negara sahabat yang memerlukannya.
Pada tahun 1970an, perang dingin di antara pakatan sekutu NATO dan Soviet adalah di tahap yang membimbangkan. Oleh itu Tentera Laut Diraja British (RN) akan sentiasa menyediakan beberapa buah kapal perang seperti HMS Intrepid untuk menghantar anggota-anggota Komando Royal Marines dan Tentera Infantri British di mana saja di dunia ini, jika keadaan memerlukannya.
Di Cyprus HMS Intrepid tidaklah merapat di pelabuhan dan hanya berlabuh di laut berdekatan dengan Bandar Famagusta. Untuk mendarat di Famagusta kami terpaksa menaiki kapal pendarat yang dipandu oleh anggota Komando Royal Marines dengan mengambil masa kira-kira 30 minit.
Semasa berada di Cyprus tidaklah ada banyak masa untuk melawat kerana tujuan kami adalah untuk mengadakan latihan. Memang tidak disangkalkan bahawa Cyprus adalah sebuah pulau yang sangat menarik serta berpotensi untuk menjadi sebagai sebuah destinasi pelancongan. Setahun selepas HMS Intrepid mendarat di pelabuhan Famagusta, Cyprus tentera Turki telah menakluki Utara Cyprus dan seterusnya rakyat dari negara Turki digalakkan untuk berhijrah ke Utara Cyprus.
Dari pelabuhan Famagusta, Cyprus HMS Intrepid akan meneruskan lagi pelayaran menuju ke Istanbul, Turki. Pada waktu yang sama latihan-latihan bagi pegawai-pegawai kadet akan terus giat dilaksanakan mengikut perancangan dan arahan pegawai latihan kami.
Di luar pantai Famagusta, Cyprus HMS Intrepid belayar ke Selatan Turki menuju ke arah Greece, sebelum menukar haluan ke Utara menuju Istanbul, Turki. Pelayaran menuju ke kawasan perairan Greece dan memasuki perairan Turki adalah satu tugas yang sangat mencabar kerana di kawasan ini banyak terdapat pulau-pulau yang kecil dan laluan selat yang agak sempit.
Dari itu kecekapan ilmu pelayaran memainkan peranan yang amat penting. Inilah satu-satunya tanggungjawab yang agak berat bagi pegawai navigasi kapal. Pada kelazimannya jika terjadi pelanggaran yang melibatkan kapal atau kapal terkandas maka pegawai navigasi akan dipertanggungjawabkan terus kepada kapten kapal. Sebagai pegawai kadet memadailah hanya diberi tugas sebagai pembantu kepada pegawai bertugas di kapal atau di anjung kapal sebagai lookout sahaja. Belayar menghampiri pulau-pulau adalah satu pengalaman yang sangat menarik dan sukar untuk dilupakan tambahan pula dalam keadaan cuaca yang sangat menyegarkan. Pada keseluruhannya keadaan laut di kawasan sini adalah tenang dan jika mengalami pukulan ombak yang kuat tidaklah menjadi masalah kerana kami sudah kebal dan biasa dengan mabuk laut.
HMS Intrepid perlu belayar secara berhati-hati di kawasan perairan Greece dan Turki lebih-lebih lagi pada waktu malam kerana didapati banyak kapal-kapal nelayan berkeliaran mencari rezeki di persekitaran Laut Aegean ini. Terdapat juga kapal-kapal nelayan ini tidak menggunakan lampu isyarat yang semestinya ditunjukkan oleh kapal nelayan. Di sinilah keahlian sebagai pelaut diuji.
Setelah beberapa cadangan lokasi untuk kapal berlabuh semasa berada di Istanbul dihadapkan kepada pegawai pemerintah kapal, maka HMS Intrepid pun menurunkan sauhnya di kedudukan yang telah dipilih oleh kapten kapal. Sekali lagi HMS Intrepid tidak merapat di tambatan pelabuhan Istanbul.
Di Istanbul seperti lazimnya pegawai pemerintah kapal akan membuat kunjungan hormat kepada orang-orang kenamaan dan pada sebelah malamnya majlis resepsi di atas kapal juga diadakan. Sebagai pegawai kadet, kami ditugaskan untuk menjadi hos kepada tetamu-tetamu kenamaan yang diundang. Di sini kami pun berpeluang dijemput untuk menghadiri majlis makan tengah hari atau makan malam di kediaman mereka.
Sekurang-kurangnya dapatlah juga menikmati makanan khas orang-orang Turki seperti doner kebab, doner durma dan bakalava, setelah sekian lama menikmati makan hidangan masakan di kapal yang dimasak oleh tukang masak lelaki. Istanbul dahulunya adalah ibu negeri Turki sebelum ianya berpindah ke ibu negeri sekarang iaitu Ankara, namun kota yang terbesar adalah Istanbul. Keramaian penduduk Istanbul dianggarkan seramai satu juta orang penduduk. Di mana mereka adalah kacukan darah orang-orang Timur dan Barat. Orang-orang Turki memiliki rupa fizikal sama seperti orang Eropah dan mata mereka juga berwarna hijau atau biru.
Selama tiga hari berada di Istanbul, kami tidak melepaskan peluang untuk membuat lawatan ke Kota Istanbul dan pasti kami ingin melawat masjid yang terkenal iaitu ‘Blue Mosque’. Istanbul adalah bandar yang tua dan bagi saya mempunyai bau yang unik, seperti campuran bau kopi dan teh Turki bersama roti simit mereka.
Sistem pengangkutan awam mereka yang terkenal adalah sistem trem yang effisien dan murah yang menggunakan jana tenaga elektrik. Bangunan-bangunan kerajaan dan kedai-kedai yang sudah lanjut usianya tapi masih nampak mempersona menampilkan identiti dan ketamadunan budaya Islam yang masih mereka kekalkan. Istanbul juga terkenal dengan bangunan-bangunan yang bersejarah peninggalan era Uthmaniyyah.
Di Istanbul kami berpeluang mengadakan perjumpaan dengan rakan-rakan sejawat dari Akademi Angkatan Tentera Laut Turki dan melawat akademi mereka. Kami juga diberikan taklimat mengenai dengan peranan dan organisasi akademi berkenaan. Di samping itu juga kami mengadakan sukan persahabatan dengan rakan-rakan kami di sana.
Pegawai-pegawai dan anak-anak buah kapal HMS Intrepid tidak melepaskan peluang untuk berehat dengan sebaik mungkin sebelum meneruskan latihan selanjutnya. Kami tidak merasa puas berehat di Istanbul kerana kami merasakan masa yang diberikan tidaklah mencukupi. Bagaimanapun kami bersyukur sekurang-kurangnya dapat menghilangkan rasa letih semasa berada di laut.
Pada awal pagi hari lagi, HMS Intrepid belayar meninggalkan pelabuhan Istanbul dengan diiringi oleh kapal-kapal perang Angkatan Laut Amerika Syarikat, Angkatan Laut Turki, Greece dan Itali. Sebelum belayar menuju ke Laut Mediterranean, HMS Intrepid mengambil kesempatan belayar menuju ke Laut Hitam (Black Sea) semata-mata untuk memberi peluang kepada anak buah kapal yang belum pernah belayar di sana, termasuk saya sendiri. Rasanya pengalaman berada di Istanbul ini tidak akan dapat saya lupakan.
Latihan bersama dengan negara-negara pakatan NATO dilaksanakan sebaik saja kapal meninggalkan pelabuhan Istanbul. Latihan yang pertama dilaksanakan ialah latihan Manouevre iaitu satu latihan taktikal membentuk berbagai formasi kapal di laut. Setiap latihan akan diawasi dengan rapi oleh pegawai kanan yang dipanggil officer in tactical command (OTC). Kadang-kadang, dalam keadaan yang tertekan OTC akan menjadi kucar-kacir atau panik. Dalam situasi ini kami pegawai kadet, sambil bergurau akan memanggil pegawai kanan OTC ini dengan panggilan officer totaly confused.
Selesai latihan Manouevre berbagai-bagai latihan di bawah pakatan NATO juga dirancang dan dilaksanakan seperti latihan pertahanan udara secara berkumpulan, latihan peperangan di atas permukaan air, latihan pertahanan serangan udara dan latihan peperangan ancaman kapal selam.
Latihan perhubungan seperti peperangan elektronik, latihan menembak peluru berpandu dan senjata ringan juga dilaksanakan. Latihan-latihan tidak di rancang juga dikendalikan jika ia difikirkan perlu oleh pegawai kanan OTC.