Friday, August 19, 2022
24.2 C
Brunei

Kenangan berlatih di laut Mediterranean

-

Oleh Pehin Kolonel (B) Dato Paduka Abdul Jalil bin Haji Ahmad

Sambungan Bahagian 2

Hari demi hari keadaan cuaca dan alunan ombak akan sentiasa saja berubah-ubah. Dengan kesibukan memerhati dan mengikuti latihan-latihan pakatan NATO ini membuat kami sentiasa sibuk dan jaranglah juga kami teringat akan keluarga dan sanak saudara di kampung halaman.

Berlatih di kapal perang juga menyeronokkan, sebagai pegawai kadet tidak akan terasa kesunyian disebabkan gurau senda ketika berkumpul bersama rakan-rakan.

Saya dan rakan-rakan menyertai semua latihan yang dikendalikan dan pengalaman-pengalaman yang diperoleh amat berguna di kemudian hari apabila mengetuai anggota masing-masing pada satu ketika nanti.

Masa berlalu seperti ombak dan angin, berlalu dengan cepat. Tanpa disedari kapal HMS Intrepid telah menukar haluannya menuju ke pelabuhan Athens, Greece. Di tambatan pelabuhan Athens anggota-anggota Angkatan Tentera Laut Greece telah siap sedia berbaris dengan pasukan pancaragam angkatan tentera lautnya sambil mengucapkan selamat datang kepada kapal-kapal perang pakatan NATO yang baru saja selesai melaksanakan latihan di Laut Aegean.

Beberapa buah kapal perang memasuki pelabuhan Bandar Athens dan bersama kapal-kapal perang tersebut membawa hampir 2,000 anak-anak buah kapalnya.

Latihan menembak senjata 20mm di Laut Mediterranean pada tahun 1973.

Mereka telah berada di Laut Aegean selama lebih 10 hari. Tidak dinafikan kapal-kapal perang ini akan dapat meningkatkan keuntungan besar kepada peniaga-peniaga di Kota Athens, khususnya kepada mereka yang mempunyai pub atau bar.

Jika tidak bertugas saya dan rakan-rakan akan mengambil peluang bersiar-siar melawat ke tempat-tempat yang menarik di persekitaran Kota Athens. Keadaan pantainya sangat indah dan kami tidak melepaskan peluang untuk berkelah.

Kami terpaksa mengikut budaya rakan-rakan Inggeris berjemur di pantai sambil bermain bola tampar dan berenang. Penulis juga ikut berkelah bersama dengan anak-anak buah kapal HMS Intrepid dalam majlis BBQ di pantai.

Penulis menyatakan kebiasaannya aktiviti semasa berada di pelabuhan adalah sama, seperti kunjungan hormat dan resepsi. Mereka juga dijemput untuk menghadiri majlis resepsi di atas kapal-kapal perang dari negara-negara yang ikut serta di dalam latihan. Kedutaan British di negara-negara yang dilawati juga menjemput mereka bagi mendengarkan taklimat mengenai dengan sosio-politik negara-negara tersebut.

Athens mempunyai sejarah yang paling tua di Eropah. Dengan kedudukannya yang strategik, Athens telah dapat berkembang maju dan memperoleh keuntungan disebabkan perhubungan perdagangan yang wujud antara Athens dengan Itali.

Memang saya akui kota Athens adalah sebuah kota yang nampak tua dan dari segi kebersihan pula masih banyak yang perlu dipertingkatkan. Walaupun demikian kota Athens tetap menjadi tempat tarikan pelancong terkemuka, sekurang-kurangnya tempat per-singgahan yang agak popular terutamanya bagi kapal-kapal perang pakatan NATO.

Dari Athens HMS Intrepid belayar menuju ke haluan Naples atau Napoli, di Barat Itali. Napoli dalam Bahasa Itali bermakna bandar baharu. Pelayaran di persekitaran kawasan sini memanglah sangat mencabar di mana kapal mengharungi melalui pulau-pulau kecil di Selatan Greece.

Di kawasan ini terdapat selat-selat yang sempit dengan airnya yang cetek. Dalam hal ini kapal akan belayar berhati-hati menggunakan sekurang-kurangnya tiga kaedah navigasi seperti menggunakan sistem radar, visual dan sistem echo sounder.

Dalam waktu yang sama kami telah pun biasa dengan kesibukan kapal-kapal nelayan menjalankan aktiviti mereka di kawasan ini.

Sebelum kapal memasuki mana-mana jua pelabuhan, seorang pegawai akan ditugaskan untuk memberi taklimat mengenai dengan negeri dan pelabuhan yang akan dilawati itu. Dengan yang demikian kami akan dapat mengetahui dan memperoleh maklumat-maklumat awal mengenai dengan negeri dan bandar yang akan dilawati itu.

Semasa HMS Intrepid berada di Naples, kami telah dirancangkan untuk melaksanakan latihan pengembaraan di kawasan perkampungan berdekatan dengan bandar Naples. Tujuan latihan ialah semata-mata untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di persekitaran kampung sambil berkenalan serta berbual-bual dengan penduduk setempat terutamanya orang-orang kampung.

Seronok juga mengikuti latihan pengembaraan ini, selain belajar membaca peta kami juga dapat mengekalkan tahap fizikal dan ketahanan jasmani.

Dari Naples HMS Intrepid akan belayar terus ke pelabuhan Gibraltar. Jarak di antara Naples dengan Gibraltar ialah melebihi 1,000 batu nautika. Para jurulatih tetap tidak akan bertolak ansur apabila berhadapan dengan latihan terutama latihan-latihan yang melibatkan pegawai kadet.

Bilik darjah tetap kekal di porta kabin dan tempat tidur tidak berubah iaitu seramai 12 orang pegawai kadet di dalam satu kabin yang kecil. Waktu-waktu bertugas di kapal juga sama iaitu dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, dari 12 tengah hari hingga 4 petang, dari 4 petang hingga 8 malam, 8 malam hingga 12 tengah malam, 12 tengah malam hingga 4 pagi dan 4 pagi hinggalah ke pukul 8 pagi, dan seterusnya.

Bagaimanapun waktu bertugas kegemaran saya ialah dari jam 4 hingga jam 8 pagi dan 8 malam hingga ke tengah malam kerana pada waktu-waktu ini aktiviti-aktiviti di dalam kapal akan berkurangan.

Seperti biasa semasa kapal berada di laut berbagai latihan dilaksanakan, di mana latihan ini dirancang semata-mata untuk mencuba keberkesanan pegawai dan anak-anak buah kapal HMS Intrepid. Di samping itu pegawai kadet dimestikan untuk memerhati dan belajar dalam apa jua bentuk latihan atau evolusi yang dilaksanakan oleh HMS Intrepid.

Kapal perang tidak hanya terhad mengisi minyak, air dan bekalan makanan semasa berada di pelabuhan, malah mengisi minyak dan bahan-bahan senjata api serta catuan makanan juga boleh dilakukan apabila kapal berada di laut.

Dalam Tentera Laut Diraja British (RN) tanggungjawab membekal bahan-bahan logistik kepada kapal-kapal perang yang berada di laut akan dikendalikan oleh kapal-kapal Royal Fleet Auxiliary (RFA).

Evolusi mengisi minyak di laut adalah satu perkara yang tidak mudah kerana ianya memerlukan persiapan yang teliti serta pergerakan seamanship yang cekap. Bagi kapten kapal pula ianya memerlukan pengalaman dan kecekapan mengawal kapal dengan baik. Jika tersilap langkah maka evolusi ini boleh mendatangkan bahaya yang amat besar kepada kedua-dua kapal yang terlibat dan anak-anak buahnya. Oleh yang demikian latihan mengisi minyak di laut, siang atau malam, akan sering saja diadakan apabila keadaan mengizinkan.

Sementara evolusi mengisi minyak sedang dijalankan, pesawat helikopter juga digunakan bagi mengangkut bekalan-bekalan catuan makanan. Sebagai pegawai kadet, kami diarahkan untuk membantu mengangkat kotak-kotak ini untuk dibawa masuk ke dalam stor kapal. Ini memerlukan stamina dan kekuatan fizikal. Namun kerja-kerja ini tidaklah begitu terasa kerana ramai anggota-anggota kapal yang membantu termasuk juga anggota-anggota Komando Royal Marines.

Latihan jasmani juga tidaklah terhad di atas kapal perang ini, kerana kami sentiasa akan meneruskan latihan fizikal di atas dek penerbangan kapal bersama-sama dengan anak-anak buah kapal dan anggota-anggota Komando Royal Marines. Dock yang letaknya di belakang kapal boleh dijadikan kolam renang jika diperlukan, selalunya kami tidak akan melepaskan peluang untuk menggunakan kolam renang itu walaupun airnya daripada air laut.

Di sepanjang berada di laut, anak-anak buah kapal juga merasa rindu mendengar khabar berita dari isteri dan keluarga yang tersayang yang ditinggalkan di kampung halaman.

Tugas-tugas menghantar surat akan dikendalikan oleh Her Majesty Post Office (HMPO) di mana segala urusan persuratan akan di hantar ke pelabuhan-pelabuhan kapal-kapal perang sedang berada. Gembira juga rasa hati apabila menerima surat dari kampung halaman. Sekali sekala surat-surat juga akan dihantar ke laut dengan menggunakan pesawat helikopter. Kebajikan bagi pegawai dan anak buah kapal akan sentiasa diberi perhatian dengan sewajarnya.

Pegawai kadet secara bergilir-gilir, akan dipelawa oleh kapten kapal untuk makan tengah hari bersama beliau. Saya kira ini adalah satu peluang yang baik untuk bersua muka dengan kapten kapal. Dengan ini juga kami akan dapat mengenali beliau dengan lebih dekat lagi di samping bertukar-tukar fikiran. Beliau juga ingin mengetahui mengenai dengan negara kita dan pergolakan politik di rantau kawasan kita.

Saya mendapati dari sudut kepimpinan pula kapten kapal masih dapat meluangkan masa berinteraksi dengan pegawai-pegawai kadet seperti kami, walaupun aturcara beliau begitu padat sekali. Beliau juga ingin mengetahui dan mendengar pandangan kami mengenai dengan pentadbiran kapal yang di bawah perintah beliau.

Selain itu juga beliau sering bertanya mengenai dengan hal ehwal kebajikan terutamanya mengenai dengan mutu masakan dan keadaan tempat tidur di kapal. Beliau sering meminta pandangan cara untuk mempertingkatkan apa jua perkara yang melibatkan pentadbiran beliau.

Satu tradisi dalam RN di mana kapten kapal tidak dibenarkan masuk ke dalam wardroom jika tidak dijemput. Wardroom adalah di bawah pentadbiran dan urusan penolong pegawai pemerintah beliau. Oleh yang demikian kapten kapal mempunyai tempat makan yang tersendiri berdekatan dengan kabin beliau. Kapten kapal juga mempunyai galleynya sendiri, termasuk tukang masak dan pelayan yang dikhaskan.

Pada awal tahun 70an, dunia ketika itu sedang mengalami perang dingin di antara pakatan NATO dan kesatuan Soviet. Maka tidak hairanlah jika dari semasa ke semasa ternampak kapal-kapal perang Soviet berada berdekatan dengan kedudukan kapal HMS Intrepid. Saya juga tidak hairan kapal-kapal perang Soviet ini akan mengambil apa jua maklumat mengenai dengan kapal-kapal angkatan laut pakatan NATO.

Sekurang-kurangnya kapal pengintip Soviet ini akan dapat mengambil gambar-gambar untuk dijadikan bahan perisikan mereka. Tidak hairanlah jika mereka mengetahui apa jua pergerakan dan kedudukan kapal-kapal perang pakatan NATO yang beroperasi di seluruh lautan di dunia ini, pada setiap masa. Saya juga difahamkan kapal-kapal selam Soviet sering mengikuti dan memerhatikan kapal HMS Intrepid sebaik saja meninggalkan pengkalan Plymouth.

Setelah berada di Laut Mediterranean selama tiga bulan, HMS Intrepid pun merapat semula di pelabuhan Gibraltar. Dalam masa tiga bulan kami menghabiskan masa berlatih di perairan Lautan Atlantik dan Laut Mediterranean.

Semoga ilmu pengetahuan serta pengalaman yang diperoleh menjadikan kami sebagai seorang pegawai tentera laut yang profesional dan berkaliber tinggi serta boleh dibanggakan. Kita memohon doa dan restu mudah-mudahan kita akan berjaya memimpin anggota-anggota kita nanti ke jalan yang diredhai oleh Allah SWT.

HMS Intrepid dijadualkan untuk menjalani kerja-kerja pemeliharan semasa berada di Gibraltar. Bagi pegawai-pegawai kadet, kami akan meninggalkan Gibraltar dengan menaiki pesawat udara DC10 Tentera Udara Diraja British menuju ke pengkalan udara RAF Brize Norton, Oxfordshire, England, dengan membawa bersama pengalaman manis dan pahit. Dengan perasaan gembira bercampur hiba saya mengucapkan selamat tinggal Laut Mediterranean.

Berlatih di Laut Mediterannean, bersama dengan kapal perang RN, adalah satu-satunya kenangan indah yang tidak mudah akan saya lupakan.

Penulis adalah bekas pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Darurat banjir di wilayah pulau selatan New Zealand

WELLINGTON, 18 OGOS – Wilayah Pantai Barat dan Nelson-Tasman di Pulau Selatan New Zealand dilanda hujan lebat dan banjir. Darurat tempatan masih kekal di kawasan...
- Advertisment -