Kenangan berlatih di laut Mediterranean

Oleh Pehin Kolonel (B) Dato Paduka Abdul Jalil bin Haji Ahmad

BAHAGIAN 1

Sebaik saja selesai penggal pertama menjalani kursus di Maktab Tentera Laut Diraja Britannia Dartmouth, England kami diberikan cuti selama 10 hari. Saya mengambil peluang ini untuk bercuti dan berehat saja di kota London.

Semasa berada di sana, kami menghabiskan masa melawat tempat-tempat bersejarah dan berehat dengan secukupnya sebelum mengikuti latihan bersama dengan kapal perang Tentera Laut Diraja British (RN), Her Majesty’s Ship (HMS) Intrepid.

Setelah cuti berakhir, kami melaporkan diri ke kapal perang RN HMS Intrepid yang pada ketika itu bertambat di pengkalan RN, di Sungai Plym, Plymouth. Kami dijangka akan berada di kapal HMS Intrepid selama tiga bulan, di perairan Laut Mediterranean. Apa yang telah dipelajari sepanjang penggal pertama di Maktab Tentera Laut Diraja Britannia akan dipraktikkan semasa berada di kapal perang ini.

HMS Intrepid adalah sebuah kapal perang yang khusus dibina untuk keperluan gerakan pengangkutan yang melibatkan pasukan khas Komando Royal Marines. Kapal perang ini bolehlah dikategorikan sebagai sebuah kapal pendarat yang boleh membawa seramai 550 pegawai dan lain-lain peringkat serta boleh menampung seramai 100 orang ahli-ahli Pasukan Khas Komando Royal Marines. Kapal perang ini juga boleh memuatkan sebanyak lima buah helikopter jenis ‘Sea King’ pada setiap masa.

Pada kelazimanannya mengikut tradisi RN, sebagai pegawai kadet disarankan untuk menulis surat rasmi kepada kapten kapal memaklumkan dan seterusnya memohon kebenaran untuk ikut serta berkhidmat dengan kapal beliau sebagai satu formaliti sahaja.

Kapal perang Tentera Laut Diraja British (RN), Her Majesty’s Ship Intrepid 1973.

Kapten kapal perang HMS Intrepid ini di bawah perintah seorang pegawai yang berpangkat kapten, iaitu sebanding dengan pangkat kolonel dalam angkatan darat. Timbalan pemerintahnya pula berpangkat komander, atau sebanding dengan pangkat leftenan kolonel.

Di pagi musim panas di England, HMS Intrepid belayar meninggalkan pengkalan RN, Plymouth. Ramai para isteri, anak-anak dan saudara mara hadir untuk mengucapkan selamat belayar kepada HMS Intrepid dan anak-anak buah kapalnya, yang akan meninggalkan tanah air selama lebih tiga bulan.

Beberapa orang pegawai kanan RN juga turut hadir bagi sama-sama mengucapkan selamat belayar dan memberikan perangsang serta semangat kepada pegawai-pegawai dan anak buah kapal HMS Intrepid.

Kita sering mendengar ungkapan yang diucapkan seperti “Fair winds and following seas” untuk mengucapkan selamat kepada seseorang. Perkataan ini adalah sebenarnya doa orang tua-tua dahulu di Eropah mendoakan agar suami dan anak-anak mereka akan selamat di dalam pelayaran, dijauhkan bala dan kembali ke tanah air dengan selamatnya.

Sudah menjadi satu tradisi RN di mana turut mengiringi ucapan selamat belayar ialah iringan irama muzik yang dibawakan oleh pasukan pancaragam Komando Royal Marines. Lagu-lagu yang sering didendangkan di upacara khas seperti ini ialah lagu-lagu tentera laut seperti Rule Britannia dan Heart of Oak.

Di hati kecil penulis terasa sedih terkenangkan orang tua dan keluarga yang tinggal jauh di kampung halaman. Hiba dan sebak juga terasa di dada, tetapi demi menyahut seruan ibu pertiwi dan demi negara yang tercinta semua ini ditempuh dengan tabah dan penuh tawakal. Penulis menganggap ia sebagai lumrah seorang dagang yang sedang merantau di negeri orang.

Pelabuhan Plymouth makin lama semakin jauh ditinggalkan dan pada waktu yang sama bermulalah latihan kami di laut bersama HMS Intrepid. Mula-mula kapal akan singgah di pelabuhan Gibraltar, iaitu sebuah bandar di kuala masuk ke Laut Mediterranean. Sebelum tiba di Gibraltar HMS Intrepid akan mengharungi Lautan Atlantik melimpasi samudera Teluk Biscay.

Di dalam kapal perang ini kami seramai 12 orang pegawai kadet ditempatkan di kompartmen bawah dek kapal di belakang sebelah kanan. Dalam kompartmen disediakan dengan katil bertingkat dan sebuah almari besi kecil setiap seorang untuk menyimpan barang-barang keperluan kami seperti seragam dan keperluan harian. Bilik kapal yang kami sebut dengan panggilan kabin ini berukuran 20 kaki dan 12 kaki sahaja.

Penulis merasa bersyukur juga dengan keadaan kabin ini, kerana menurut penulis jauh lebih baik dan selesa jika dibandingkan dengan keadaan kabin dalam kapal selam. Sebagai seorang pegawai, apa yang penting ialah mesti bersedia dan boleh menyesuaikan diri kita dalam apa jua keadaan dengan cepat dan mudah. Menurut penulis ini adalah satu-satunya sifat yang perlu ada pada pemimpin.

Pukulan ombak makin terasa dan semakin jauh meninggalkan daratan, ditambah lagi dengan tiupan angin yang mula-mulanya perlahan semakin kuat. Sekali-sekala terasa tiupan angin kencang dari arah Lautan Atlantik meniup ombak. Keadaan ini pula berbeza jika dibandingkan dengan keadaan ombak di Laut China Selatan, di mana pada amnya tidaklah begitu bergelora.

Bagi kami apa yang penting dan utama ialah untuk mengenal dan menyesuaikan diri dengan keadaan dalam kapal perang ini. Bagi penulis apa yang mustahak ialah mengetahui akan kedudukan-kedudukan penting di dalam kapal seperti anjungan kapal (bridge), bilik gerakan, wardroom, dapur (galley), kantin, bilik perubatan, bilik kapten dan pegawai-pegawai kanan, bilik kawalan jentera, pusat perhubungan dan rakit keselamatan.

Dalam masa yang singkat sahaja penulis dapat menyesuaikan diri dengan keadaan kapal dan anak-anak buahnya. Bagi penulis, bertugas di atas kapal perang tidaklah semudah yang dibayangkan. Apa yang dialami penulis sendiri, ialah masa tidur yang tidak mencukupi dan menentu kerana tugasan di sepanjang hari juga tidak tetap.

Di dalam kapal, penulis mendapati yang panggilan-panggilan seperti dapur dan tempat mandi adalah berbeza seperti lazimnya misalan dapur dipanggil dengan sebutan galley dan tempat mandi pula disebut dengan perkataan head. Lantai kapal disebut dengan dek dan anjung kapal dipanggil dengan bridge. Pada amnya kapten kapal akan sering berada di anjungan kapal pada setiap masa.

Perkataan galley sebenarnya berasal daripada perkataan gallery kerana pelaut-pelaut di zaman kapal layar dahulu menggunakan batu bata untuk memasak makanan mereka. Manakala perkataan head pula timbul semasa waktu kapal layar lagi. Kedudukan jamban di kapal layar dahulu adalah terletak di hadapan kapal layar di sebelah kiri dan kanan, makanya arah jamban ialah the head atau di depan kapal. Aneh juga hidup di atas kapal perang ini.

HMS Intrepid terus belayar 24 jam, berbagai-bagai latihan praktikal dilaksanakan sepanjang pelayaran itu. Kami juga berpeluang untuk bekerja bersama-sama dengan anak-anak buah kapal. Bagi pegawai-pegawai kadet British, anak-anak buah kapal inilah pada satu hari akan mereka pimpin setelah mereka menamatkan latihan nanti. Sebagai pegawai-pegawai kadet antarabangsa dapatlah kami memerhati dan menimba ilmu daripada kebolehan profesional, tingkahlaku serta cara kepimpinan PTB Kanan dan lain-lain peringkat RN.

Bagi menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman kami ditempatkan di berbagai jabatan penting di dalam kapal seperti Seamanship, Gerakan, Kejuruteraan, Elektrikal, Elektronik dan Logistik. Kami juga akan belajar dengan apa jua pekerjaan di kapal termasuk bekerja di dapur hinggalah bertugas di bilik gerakan memerhati latihan-latihan taktikal yang berjalan ketika itu.

Kami juga diperlukan untuk bertugas sebagai lookout dan watchkeeping di anjung kapal, bertugas di bilik jentera mempelajari sistem maintenance kapal dan membaik pulih jika terdapat sebarang kerosakan.

Bekerjasama secara praktikal berganding bahu bersama anak-anak buah kapal ini adalah satu cara yang baik untuk belajar daripada mereka. Di samping itu kita akan dapat berkongsi pengalaman dengan mereka. Dengan profesionalisme yang ditunjukkan maka dapatlah kita memahami akan tanggungjawab dan sumbangan mereka terhadap keberkesanan sistem setiap kapal perang.

Mengharungi kawasan perairan di Teluk Biscay, Sepanyol, tiupan angin semakin kencang dan pukulan ombak pula semakin terasa kuat. Kami tidak merasa hairan kerana kami telah difahamkan bahawa di kawasan perairan di Teluk Biscay ini memang terkenal dengan ombaknya yang bergelora.

Penulis teringat pada satu insiden yang melibatkan sebuah kapal pendarat kepunyaan Angkatan Laut di rantau kita dipukul ombak yang kuat dan diikuti pula cuaca buruk yang melanda ketika itu. Kapal perang tersebut hampir saja karam kalau tidak mempunyai anak-anak buah kapal yang terlatih terutamanya di bidang Seamanship. Dengan kehendak Allah SWT jua, walaupun kapal tersebut dimasuki air yang banyak, ia dapat diselamatkan dan ditunda masuk ke pelabuhan Sepanyol.

Dengan pukulan ombak yang kuat serta tiupan angin yang sejuk, rasa mabuk laut sudah mula terasa. Keadaan mabuk laut ini akan terasa lebih cepat lagi apabila kita berada di dalam kapal, lebih-lebih lagi apa bila berada di bilik jentera. Mabuk laut dan muntah di sana sini sudah menjadi ragam hidup sebagai seorang pelaut. Teringat juga pada pepatah Melayu kita ‘jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai’. Sudah menjadi lumrah seorang pelaut mabuk laut, badai kencang dan laut bergelora adalah asam garam seorang pelaut.

Setelah berada selama 10 hari di Lautan Atlantik, HMS Intrepid mulalah memasuki pelabuhan Gibraltar. Terlihat saja pantai Gibraltar, kami merasa gembira dan penuh bersemangat. Mabuk laut sudah tidak terasa lagi dan dapat kita lihat moral pegawai-pegawai dan anak-anak buah kapal meningkat tinggi. Pada tahun 1830 sebuah garison telah ditubuhkan di Gibraltar oleh Tentera British hinggalah ke hari ini.

Rock of Gibraltar jelas nampak dilihat dari kapal dan adalah menjadi satu tradisi bagi pegawai kadet untuk menaiki dan membuat latihan di kawasan batu kapur yang memiliki ketinggiannya 425 meter.

Setelah dua hari berada di Gibraltar HMS Intrepid pun meneruskan pelayaran menuju ke Malta, iaitu sebuah pulau kira-kira 200 batu di Utara Libya dan 60 batu di Selatan pulau Sicily, Itali.

Kembali semula berada di laut, rutin kami berjalan seperti biasa, belajar ilmu pelayaran dengan menggunakan kaedah bintang dan matahari. Latihan ilmu pelayaran menggunakan bintang ini akan dilaksanakan pada awal waktu subuh dan sebelum masuk matahari setiap hari. Perkara ini tidak mudah dilaksanakan di mana ia memerlukan pengalaman dan latihan praktikal yang banyak.

Penulis perhatikan Laut Mediterranean ini tidaklah begitu bergelora jika dibandingkan dengan Lautan Atlantik. Laut Mediterranean sungguh indah dengan ketenangan airnya yang berwarna biru. Ia terkenal dengan keindahan alam dan pantainya yang terindah di Eropah.

Latihan pegawai kadet diteruskan mengikut jadual yang digariskan oleh pegawai latihan. Tahap keyakinan diri kami juga kian meningkat di mana kami telah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan hidup di atas kapal perang.

Penulis melihat di kawasan perairan Morocco, Algeria dan Libya terdapat banyak kapal-kapal nelayan tradisional mencari rezeki di persekitaran pantai. HMS Intrepid terpaksa, berhati-hati pada siang dan malam memantau kapal-kapal nelayan ini.

HMS Intrepid tiba di Malta setelah berada di laut selama 10 hari selepas melaksanakan bermacam-macam latihan. HMS Intrepid berada di Malta hanya sehari sahaja dan sebagai satu tradisi pegawai pemerintah kapal akan membuat kunjungan hormat kepada orang-orang kenamaan negara tersebut seperti kunjungan kepada menteri pertahanan atau timbalannya dan ketua angkatan bersenjata serta pegawai-pegawai kanan pasukan pertahanan negara tersebut. Dengan kunjungan seumpama ini dapatlah merapatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.