Kenangan lama yang tidak dilupakan

Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman

 

SISA sejarah, kenangan dan peristiwa lama walaupun sudah jauh meninggalkan kita namun ianya masih segar dalam ingatan penulis. Bangunan-bangunan dan kedai-kedai runcit lama serta tapak-tapak bersejarah semuanya sudah hilang dari pandangan mata digantikan dengan bangunan-bangunan baru. Begitu juga kenangan hiburan di Padang Besar Bandar Brunei sekitar tahun 1959, iaitu tempat murid-murid sekolah mengadakan perlawanan di antara sekolah-sekolah rendah Brunei I, juga sudah tiada lagi.

Sekitar tahun 1960-an pula, perkhidmatan rumah sakit telah mula diperkenalkan dan menawarkan perkhidmatan kesihatan kepada para penduduk. Namun masyarakat dan penduduk ketika itu merasa sukar untuk mengunjunginya kerana masih ramai yang belum memiliki kenderaan, apatah lagi mereka yang tinggal jauh dari kawasan bandar. Tambahan lagi, orang-orang tua pada ketika itu merasa takut untuk berjumpa doktor.

Pada zaman itu juga, kedai-kedai runcit juga telah didirikan bagi kemudahan masyarakat setempat untuk membeli barangan harian mereka. Para peniaganya terdiri daripada kaum Cina dan India. Mereka sudah menjalankan perniagaan ini sejak dari dahulu lagi sehinggalah sekarang. Antara barang-barang perniagaan yang dijual oleh mereka ialah rempah-ratus, pakaian wanita dan lelaki, songkok, tikar sembahyang, tudung, emas dan banyak lagi. Penulis masih ingat, terdapat deretan ‘kedai-kedai papan’ – peniaga dari bangsa Cina – yang terletak di Batu Satu, Jalan Tutong, di mana mereka ini telah menjual barang-barang makanan dalam tin, beras, gula, minyak tanah dan minyak makan. Kesemua barang-barang keperluan dapur ini dijual dengan harga yang murah seperti yang terdapat dalam gambar yang disediakan oleh penulis pada tahun 1959.

Penulis juga ada menyediakan gambar pemandangan Dermaga Kastam Lama pada tahun 1950-an yang kelihatan lengang, di mana tempat kapal-kapal besar berlabuh membawa barangan mereka dari luar negara, kemudian disimpan di dalam gudang besar sebelum dihantar ke kedai-kedai. Masyarakat tempatan juga menggunakan dermaga itu bagi membawa hasil jualan mereka ke pusat bandar. Antara yang dibawa adalah ambulong (makanan asli masyarakat tempatan) yang berasal dari ulu Labi dengan menggunakan kenderaan besar. Kemudian ianya akan diagih-agihkan kepada ‘Padian’ untuk dijual kepada para penduduk Kampong Ayer dan kedai-kedai runcit yang berdekatan.

Hasil jualan ambulong yang diangkut dari Kuala Balai, Kuala Belait, kemudian dijual oleh para ‘Padian’ dan ‘pengalu’ pada tahun 1947.
Hasil jualan ambulong yang diangkut dari Kuala Balai, Kuala Belait, kemudian dijual oleh para ‘Padian’ dan ‘pengalu’ pada tahun 1947.
’Kedai-kedai papan’ lama pada tahun 1950 di Jalan Tutong.
’Kedai-kedai papan’ lama pada tahun 1950 di Jalan Tutong.
Pertandingan Senaman Sekolah Melayu Brunei I pada tahun 1959.
Pertandingan Senaman Sekolah Melayu Brunei I pada tahun 1959.
Rumah sakit lama pada tahun 1958.
Rumah sakit lama pada tahun 1958.