Kenapa ikan suka berada di kawasan teduh?

Sebagai seorang kaki pancing setentunya memiliki pengalaman dalam bidang casting dan setentunya akan perasan dengan satu perkara iaitu ikan pemangsa lebih suka menyerang gewang di tempat yang teduh.

Kenapa ikan suka menyerang pada kawasan yang teduh? Ini kerana tempat teduh adalah kawasan strategik untuk membuat serang hendap. Ikan pemangsa tahu dan mereka sangat mahir menggunakan kawasan teduh ini sebagai gelanggang untuk ‘mengintai’ mangsa.

Sama ada bersembunyi di bawah bot atau dermaga, pemangsa kerap menggunakan teduhan untuk meningkatkan peluang kejayaan apabila mencari makan. Banyak pemangsa menggunakan teduhan untuk mendapat kelebihan, kerana ikan di tempat teduh dapat melihat ikan yang berada dalam cahaya matahari kira-kira 2.5 kali lebih jauh.

Ini disebabkan kerana kepekaan mata ikan terhadap cahaya ditentukan oleh kecerahan persekitarannya. Cahaya matahari yang memasuki air akan terpantul dengan zarah-zarah terapung dan bahan organik yang memberikan air warna. Pantulan ini memantulkan cahaya ke segenap arah, ke atas, ke bawah dan ke tepi, di mana ia membuatkan air menjadi cerah di bawah sinar matahari.

Dalam keadaan cahaya yang terang, mata ikan akan disesuaikan dengan keadaan kecerahan sekeliling dengan mengurangkan tahap kepekaannya. Sebaliknya, jika mata ikan di bawah kawasan teduh, ia akan disesuaikan pula dengan tahap cahaya yang lebih rendah dan seterusnya akan menjadi lebih sensitif terhadap sebarang pergerakan dari jarak jauh.

Ikan kerapu merupakan salah satu jenis ikan yang suka melakukan serangan hendap kepada mangsanya. – Agensi
Ikan kebanyakannya suka berada di kawasan yang dipayungi oleh bayangan pokok-pokok berhampiran. – Agensi
Kawasan dermaga merupakan tempat yang kebiasaannya banyak ikan bersembunyi kerana suasananya yang teduh. – Agensi

Kelebihan tempat teduh kepada pemancing

Tempat yang teduh akan menawarkan kelebihan yang besar terhadap pemangsa atau mangsa bergantung kepada pihak yang mana mendapatkannya terlebih dahulu. Inilah salah satu sebab mengapa kawasan struktur sangat penting untuk memancing.

Walaupun ikan pemangsa ada kelebihan di tempat teduh, namun terdapat satu kesan sampingan yang perlu mereka hadapi. Pemangsa yang melakukan serang hendap dari kedudukannya di tempat teduh akan ‘silau’ buat sementara waktu apabila ia menerjah ke kawasan cerah di bawah sinar matahari untuk menelan mangsanya.

Kesan silau ini dapat membantu kita sebagai pemancing, kerana pada waktu ini ikan tidak dapat membezakan gewang dan makanan yang betul dalam saat-saat terakhir serangannya.

Walau bagaimanapun, disebabkan kesan silau ini, ikan hanya berani melalukan serangan dalam radius jarak yang dekat sahaja dari tempat persembunyiannya. Penglihatannya tidak akan cukup jelas untuk membuat cubaan mengejar mangsa dengan bersungguh-sungguh. Malah, ikan tersebut akan menunggu peluang lain datang jika ia merasakan tidak dapat membuat serangan.

Kebanyakan ikan pemangsa lebih suka dengan kerja mudah yang berkaitan dengan penggunaan tenaga dan tenaga yang bakal diperolehi. Jika penggunaan tenaga lebih besar diperlukan untuk mendapatkan makanan itu berbanding tenaga yang bakal diperolehi, ikan terutama ikan besar tidak akan mengejar mangsanya dengan bersungguh-sungguh.

Ikan pemangsa jarang menyerang ikan kecil yang telah mengesan kehadirannya, atau ikan kecil yang mengekalkan jarak tertentu dari pemangsa. Pemburuan di habitat semula jadi bukanlah mudah, kebarangkalian untuk terlepas sia-sia adalah tinggi dan membazirkan banyak tenaga. Oleh itu, ia tidak berbaloi dengan pelaburan tenaga yang bakal dilakukan.

Ikan yang sedang diburu selalunya akan berasa takut untuk menghampiri kawasan teduh dan menganggap ia kawasan bahaya. Namun, ikan kecil jarang memiliki peluang untuk mengelakkan risiko bahaya ini. Terutama sekali apabila mereka terpaksa melalui saluran air yang sempit dan kebanyakan tempat di sepanjang saluran itu dipayungi oleh bayangan pokok-pokok berhampiran. Sekiranya anda menjumpai tempat sebegini, cuba meluangkan sedikit masa melontar gewang kerana selalunya ada pemangsa bersembunyi di sana. – Agensi