Kendali tatacara kit ujian ART dengan betul

Penularan wabak COVID-19 yang masih mengancam dunia tidak terkecuali di negara kita setentunya menimbulkan rasa bimbang kepada sesiapa sahaja, apatah lagi perasaan takut ini semakin meningkat ketika mendengar rentetan laporan peningkatan kes baharu COVID-19 kalangan komuniti.

Tidak mustahil, pasti kita akan terfikir, ‘adakah aku selamat dari virus?apa bukti aku tidak menghidap COVID-19?’, sehingga kita bertambah ragu dengan kesihatan diri apabila mengetahui tiada simptom-simptom tertentu bagi mereka yang dijangkiti.

Sebagai tindakan segera untuk melegakan kerisauan di hati tentang jangkitan berkenaan, kini produk kit ujian pantas antigen (ART) COVID-19 telah berjaya dicipta yang banyak terjual di mana-mana di negara kita.

Secara umumnya, kit ujian ART digunakan sebagai ujian saringan yang dilakukan sendiri oleh individu yang memiliki kelebihan mengesan status COVID-19 individu dengan cepat dan mudah.

Sembilan jenis kit ujian diluluskan

Sehubungan dengan itu, Kementerian Kesihatan telah mengemas kini senarai produk kit ujian ART yang telah diluluskan dan setakat ini sembilan jenis kit ujian diberikan kebenaran untuk digunakan.

Kit ujian ART digunakan sebagai ujian saringan yang dilakukan sendiri bagi mengesan status COVID-19 individu dengan cepat dan mudah.
Jika keputusan ujian saringan menggunakan kit ujian berkenaan didapati positif, mereka hendaklah terus membuat ujian di pusat swab untuk keputusan yang betul. – Gambar fail
Orang ramai disarankan untuk sentiasa memastikan semua alatan kit dimasukkan ke dalam plastik dan ikat dengan sempurna serta perlulah dibuang ke dalam tong sampah.

Kebenaran tersebut diberikan hasil penilaian yang ditentukan dengan mengikut prestasi klinikal dan analisis kit ujian (sensitiviti dan spesifikasi oleh pihak pengeluar), piawaian keselamatan, kualiti dan keberkesanan alat uji.

Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Makmal akan terus mengemas kini senarai kit ujian ART yang dibenarkan untuk memastikan kit ujian yang disediakan memenuhi piawaian yang diperlukan.

Produk-produk yang diberikan kebenaran adalah Panbio COVID-19 RAPID Test Device (jenis sampel Nasopharyngeal dan Nasal), BiocanTell me fast COVID-19 Antigen Test (jenis sampel saliva), Innovita One Step Rapid Test (2019-nCoV Ag Test) (jenis sampel Anterior Nasal Swab), QuickVue At-Home OTC COVID-19 Test (jenis sampel Nasal), Roche SARS-CoV-2 Antigen Self-Test Nasal (jenis sampel Nasal), Arista COVID-19 Antigen Rapid Test (jenis sampel Nasal), Newgene Bioengineering COVID- 19 Antigen Detection Kit (jenis sampel Sputum dan Nasopharyngeal), dan Alltest COVID-19 Antigen Test Oral Fluid Self-Testing (jenis sampel Saliva (OralFluid).

Bagi orang ramai yang ingin melihat senarai yang telah dikemas kini juga boleh merujuk ke laman sesawang Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa.

Jangan ghairah tanpa periksa

Dalam keghairahan untuk mendapatkan ujian COVID-19, orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dalam pembelian kit ujian yang semakin banyak terjual di mana-mana termasuklah dalam talian.

“Meskipun terdapat banyak kit ujian COVID-19, namun tidak semuanya berkesan atau baik,” tegas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan pada 20 Ogos lalu.

Beliau berkata, semua kit ujian COVID-19 tersebut perlulah mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan. Perkara berkenaan tegas beliau, adalah penting kerana dikhuatiri kit ujian yang tidak disahkan tersebut akan mengeluarkan keputusan ujian saringan yang salah dan tidak berkesan yang boleh memberikan tanggapan salah sehingga menimbulkan kekhuatiran pada masa mendatang.

Sementara itu, penegasan ini turut dinyatakan Yang Berhormat Dato semasa berlangsungnya sidang media pada 27 Ogos lalu yang mana orang ramai disarankan untuk hanya mengambil kit ujian yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan sahaja kerana dikhuatiri jika individu menggunakan kit ujian ART yang tidak disenaraikan oleh kementerian dan mendapat keputusan negatif tetapi sebaliknya positif, ia boleh mendatangkan bahaya dan menjangkiti orang awam sekiranya individu terbabit demam dan malah keluar berjalan-jalan dengan tidak pergi ke hospital.

“Ia sekali gus akan menyebabkan penularan dan sebab itu Kementerian Kesihatan sangat berhati-hati dalam mengeluarkan kit ujian antigen ini,” jelasnya lagi.

Jika positif segera ke pusat swab

Sejak kit ART COVID-19 mula dijual di negara ini, ramai yang mengambil peluang untuk membuat saringan bagi memastikan mereka bebas COVID-19.

Dalam keterujaan menggunakan kit ujian berkenaan, Yang Berhormat Datomengingatkan masyarakat di negara ini bahawa kit ujian tersebut digunakan hanya sebagai ujian saringan saja ketika sidang media beberapa hari lalu.

“Jika keputusan ujian saringan menggunakan kit ujian berkenaan didapati positif, mereka hendaklah terus membuat ujian di pusat swab untuk mendapatkan keputusan yang betul,” tegasnya lagi.

Tambah beliau, pihak kementerian juga mendapati, mereka yang membuat ujian saringan menggunakan kit ujian ini telah didapati positif setelah ujian swab yang betul dibuat.

Teliti ketika menggunakan kit ujian

Secara dasar, perlu diketahui oleh semua pengguna kit ujian perlu mengikuti prosedur-prosedur tertentu.

Sebagai permulaan, kita mestilah membaca arahan penggunaan kit dengan teliti. Selain itu, kita jua dikehendaki untuk memeriksa dan memastikan kit lengkap, tidak melepasi tarikh luput dan tidak rosak.

Jangan lupa untuk mencuci tangan sebelum memulakan prosedur bagi mengelakkan kontaminasi silang. Dalam pada itu, kita jua perlu memastikan tempat melakukan prosedur ini kering, bersih dan mempunyai pengudaraan yang baik. Penting juga untuk sentiasa memastikan tiada orang berhampiran bagi mengelakkan risiko jangkitan dan kontaminasi silang.

Namun sekiranya prosedur ini perlu dibantu oleh orang lain, pembantu perlu memakai sekurang-kurangnya pelitup muka dan sarung tangan bagi mengelakkan risiko jangkitan dan kontaminasi silang.

Bagaimana pembuangan kit ujian yang betul?

Menyentuh mengenai pengendalian pembuangan kit ujian yang telah digunakan, orang ramai disarankan untuk sentiasa memastikan semua alatan kit dimasukkan ke dalam plastik dan ikat de ngan sempurna. Seterusnya, plastik yang mengandungi alatan kit berkenaan perlulah dibuang ke dalam tong sampah.

Begitu juga, kita dikehendaki untuk menjalankan disinfeksi kawasan prosedur dengan larutan disinfeksi yang bersesuaian selepas prosedur pengujian.Akhirnya, jangan lupa untuk mencuci tangan menggunakan sabun dan air selepas selesai menjalankan prosedur bagi mengelakkan kontaminasi silang.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato juga turut menyarankan supaya ia dibuang dalam satu bekas atau bungkusan khas dan diasingkan kerana antigen berkenaan masih boleh menjangkiti. Manakala itu, bagi syarikat-syarikat yang membuat saringan dalam jumlah yang banyak juga diingatkan untuk membuang di tempat pembuangan barangan klinikal.

Oleh itu, bersama kita beringat, jaga diri dan insan-insan sekelilingi demi menanai tanggungjawab sosial menangani penularan wabak virus ini dari semakin berleluasa.