Oleh Sim Y.H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Jawatankuasa Pengurusan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS) yang dipengerusikan bersama oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Kementerian Pembangunan hari ini mengemaskinikan penggunaan Jambatan SHOAS.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, jawatankuasa itu menyatakan bahawa kebenaran penggunaan Jambatan SHOAS adalah diberikan kepada semua kenderaan yang berdaftar di Negara Brunei Darussalam dalam kesemua kelas I, II, III, IV, V, VI, VII dan XII.Begitu juga bagi kenderaan pendaftaran asing sama ada persendirian atau komersial dalam kelas sebanding Brunei iaitu kelas I, III, IV, VI dan XII dibenarkan untuk melalui jambatan berkenaan.
Manakala itu, bagi kenderaan komersial pendaftaran asing dalam kelas sebanding dengan kelas II dan V yang mempunyai keberatan melebihi 3,500kg tidak dibenarkan untuk menggunakannya dan dinasihatkan menggunakan jalan ASEAN Highway 150 ataupun AH150 (melalui Limbang) yang selazimnya digunakan pada masa ini.
Para pengguna hendaklah mematuhi had kelajuan 100kmsj bagi kenderaan biasa manakala had kelajuan bagi kenderaan komersial adalah 80kmsj.
Kerjasama orang ramai adalah sangat diharapkan demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan kesemua pengguna jalan raya semasa menggunakan Jambatan SHOAS.
Sebarang perubahan penggunaan Jambatan SHOAS akan dimaklumkan melalui sidang media dari semasa ke semasa.
Sebarang pertanyaan, orang ramai bolehlah menghubungi Talian Darussalam 123 atau Brunei Bridge Authority melalui e-mel pro@pwd.gov.bn.
