Kenderaan perayau China mendarat di Marikh

BEIJING, 23 MEI – Kenderaan perayau Marikh pertama China, Zhurong berjaya diturunkan dari platform pendaratan ke permukaan planet dan  sedang memulakan misi meneroka planet keempat dari matahari, justeru meninggalkan ‘jejak’ pertama China di planet merah itu.

Menurut Pentadbiran Angkasa Lepas Nasional China, kenderaan perayau bertenaga suria itu mendarat di permukaan Marikh pada 10:40 pagi waktu Beijing semalam. Kejayaan perjalanan Zhurong itu menjadikan China negara kedua di dunia yang berjaya mendarat di permukaan Marikh dan mengoperasikan kenderaan di planet itu.

Kenderaan perayau itu mempunyai enam roda, berbentuk umpama kupu-kupu, seberat 240 kilogram. Ia telah menjalankan ujian diagnostik selama beberapa hari sebelum memulakan penjelajahannya semalam.

Direka dengan jangka hayat sekurang-kurangnya 90 hari Marikh (kira-kira tiga bulan di bumi), Zhurong akan merakamkan landskap Marikh dengan gambar 3D resolusi tinggi, menganalisis komposisi permukaan planet itu, mengesan struktur di bawah permukaannya serta magnetik. Ia juga akan mencari ais dan air serta mencerap persekitaran meteorologi di sekelilingnya. – Bernama/AP

Gambar serahan Pentadbiran Angkasa Lepas Nasional China kelmarin menunjukkan platform pendaratan dan permukaan Marikh dilihat dari kamera kenderaan perayau Zhurong. – AP