Oleh Ak Zaki Kasharan
QAF Prestige Sdn Bhd selaku pengimport dan pengedar rasmi kenderaan Porsche di Brunei telah memperkenalkan beberapa buah kenderaan Porsche-approved yang berkualiti tinggi yang hanya boleh didapati di Pusat Porsche Brunei termasuklah Porsche 911 Carrera.
Membeli kenderaan Porsche-approved daripada pengedar Porsche memberikan pelanggan akses kepada faedah eksklusif seperti perkhidmatan kerosakan, perkhidmatan mengambil dan menghantar, dan banyak lagi di samping kenderaan Porsche-approved juga memberi jaminan kepada pelanggan yang mencari model lama yang tidak lagi dalam pengeluaran.
Pihak Media Permata baru-baru ini turut berkesempatan mencuba dan menguji pandu kenderaan Porsche-approved iaitu Porsche 911 Carrera yang terdapat di Pusat Porsche Brunei.
Semasa melihat kenderaan itu buat pertama kalinya dan memasuki ke dalam Porsche 911 Carrera tersebut, penulis berasa begitu terpegun bukan saja kerana reka bentuk dan kemudahan yang ada padanya namun juga disebabkan kualitinya yang mana seolah-olah ia baru sahaja dikeluarkan dari kilang.
Melalui program Porsche-approved, hanya alat ganti tulen digunakan bagi memastikan prestasi dan keselamatan kenderaan Porsche tidak terjejas. Selain itu, juruteknik Porsche juga menjalani latihan yang ketat untuk memastikan mereka mempunyai kepakaran mengenal pasti dan membaiki sebarang isu kenderaan tersebut dengan betul.
Sementara itu, waranti bagi kenderaan Porsche pula merupakan penyelesaian ideal untuk pemiliknyac yang ingin terus dilindungi walaupun selepas waranti kereta baharu telah tamat tempoh.
Untuk layak mendapat waranti, kenderaan itu mesti lulus pemeriksaan 111 mata di mana program jaminan ini tidak mempunyai sekatan tempoh masa dan jarak penggunaan, bahkan juga menerima kenderaan sehingga 15 tahun.
Pemeriksaan 111 mata adalah ujian teknikal yang digunakan untuk menilai keadaan Porsche pra-milik di mana terdapat 111 elemen berbeza untuk diperiksa, dan walaupun salah satunya rosak, kenderaan itu tidak akan diluluskan Porsche. Pemeriksaan boleh dibahagikan kepada empat bahagian. Ini termasuk dalaman, luaran, pacuan dan pandu uji.
Keadaan dan fungsi semua ciri yang tersedia akan diperiksa di mana tempat duduk, permukaan sentuh, penyaman udara, sistem hiburan dan yang paling penting, fungsi keselamatan seperti beg udara, tali pinggang keledar, sistem mengelakkan perlanggaran dan sebagainya semuanya akan diuji.
Dengan alat ganti dan tenaga kerja yang dilindungi sepenuhnya, ini merupakan jaminan yang boleh dipercayai untuk memberikan pelanggan Porsche ketenangan fikiran sepenuhnya selepas membeli kenderaan tersebut.
Waranti ini juga meliputi pelbagai komponen termasuk enjin, transmisi, suspensi, brek, elektrik dan banyak lagi, tidak termasuk haus dan lusuh. Sekiranya kenderaan itu dijual semula, waranti Porsche-approved juga boleh dipindah milik sepenuhnya.
Perkara yang sama juga dapat dirasakan semasa diberikan peluang untuk menguji pandu kenderaan tersebut di sekitar kawasan komersil Beribi. Meskipun keadaan jalan yang sesak dengan jumlah kenderaan yang banyak semasa mengemudi Porsche 911 Carrera berkenaan, penulis masih berasa selesa, sama seperti mengenderai kenderaan yang baharu.
Kesemua kemudahan teknologi yang terdapat padanya juga terasa begitu canggih dan moden menjadikan pengalaman memandu uji kenderaan tersebut lebih menyenangkan dan teruja.
Bahagian luar akan diperiksa dengan teliti untuk mengesan calar, kemek dan kemerosotan cat. Juruteknik juga memeriksa segala fungsi dan keadaan semua pintu, tingkap, dan lampu, serta sebarang kemungkinan hakisan.
Disebabkan Porsche merupakan sebuah kenderaan yang berprestasi tinggi, kesemua komponen mestilah berfungsi dengan sempurna dan dalam keadaan yang terbaik.
Juruteknik Porsche juga sudah semestinya akan memeriksa enjin, transmisi, suspensi, brek, elektrik dan semua elemen penting yang lain dengan teliti.
Kenderaan itu kemudiannya diuji untuk memastikan pengendalian jalan, prestasi dan sistem lain semuanya berfungsi dengan baik.
Disebabkan berasa begitu selesa, sesi uji pandu, begitu cepat berlalu sehinggakan sukar rasanya penulis berganjak keluar dari kenderaan tersebut kerana terbuai dengan kenyamanan dan kehebatan pemanduan kenderaan itu.
Di Pusat Porsche Brunei, kini terdapat satu Panamera, tiga 911 dan satu Boxster GTS yang tersedia. Orang ramai yang berminat bolehlah melayari laman sesawang pengedar Porsche untuk mendapatkan sebarang maklumat lebih lanjut.