Kenderaan terbakar, pemandu terselamat

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA,13 Sept – Seorang pemandu warga asing terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan apabila kereta yang dipandunya terbakar di kawasan Jalan Tengah pagi tadi.

Kebakaran kereta jenis SUV itu dilaporkan berpunca daripada kerosakan Electronic Control Unit (ECU) di bahagian enjin.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dalam kenyataan yang dikeluarkan, mengatakan menerima laporan kejadian pada jam 8:56 pagi dan mengerahkan lapan orang anggota bomba Seria dan dua buah kenderaan ke tempat kejadian, diketuai oleh Pemangku Pegawai Stesen, Awang Musa bin Haji Yusof.

Menurut kenyataan itu, ketika tiba di tempat kejadian, api sudah pun membakar keseluruhan bahagian hadapan kereta dan hanya berjaya dikawal tiga minit kemudiannya, dengan kerugian dianggarkan $8,000. Sehubungan dengan itu, JBP menasihatkan pengguna jalan raya sentiasa memastikan kereta mereka dalam keadaan baik dan selamat sebelum digunakan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Gambar ihsan JBP menunjukkan kejadian kebakaran kereta yang berlaku di kawasan Jalan Tengah Seria, semalam.