Kenin, Stephens bakal berentap di depan peminat

LOS ANGELES, 27 MEI – Juara bertahan Terbuka Australia Sofia Kenin dan pemenang Terbuka AS 2017 Sloane Stephens akan bertanding dalam musim Tenis Pasukan Dunia 2020 (WTT) yang berlangsung di sebuah resort pergunungan bersama penonton bermula 12 Julai.

Pertandingan litar AS sembilan pasukan itu akan mengadakan kempen ke-45 di The Greenbrier di White Sulphur Springs, West Virginia, bermula dari 12 Julai hingga 2 Ogos, umum liga semalam.

Dengan jelajah WTA dan ATP ditutup sehingga Ogos disebabkan pandemik koronavirus, keputusan itu menjadikan WTT litar tenis pro pertama yang meneruskan perlawanan setelah wabak virus menutup sukan tersebut.

“Kami semua berasa amat bersyukur kerana dapat bermain dalam musim Tenis Pasukan Dunia ke-45 dan memperkenalkan tenis profesional kepada penonton kami,” kata ketua eksekutif WTT Carlos Silva.

“Maklum balas menggalakkan daripada pemain kami adalah mereka mahu beraksi dalam WTT dan berasa selesa melakukannya dalam persekitaran selamat, yang merupakan keutamaan nombor satu kami. Virginia Barat mempunyai antara kes paling rendah COVID-19 dalam negara.”

WTT merancang sekurang-kurangnya tiga perlawanan sehari di stadium terbuka resort yang mempunyai 2,500 tempat duduk dengan gelanggang tertutup didirikan sebagai opsyen sokongan.

Garis panduan Virginia Barat akan membenarkan sehingga 500 penonton, kapasiti 20 peratus, untuk menghadiri perlawanan.

WTT merancang musim tetap 63 perlawanan dari 19 hingga 30 Julai dengan pusingan separuh akhir 1 Ogos dan perlawanan kejohanan pada hari berikutnya.

Kenin, pemain nombor empat dunia, warga Amerika berusia 21 tahun yang memenangi kejuaraan Grand Slam pertama pada 1 Februari di Melbourne, akan beraksi untuk Philadelphia Freedoms sementara Stephens, pemenang kedua Terbuka Perancis 2018, akan bertanding untuk Chicago Smash. – AFP

Aksi Sofia Kenin ketika mengembalikan hantaran bola pemain Kazakhstan Elena Rybakina semasa perlawanan Kejohanan Tenis Bebas Duti Dubai di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. – AP