Saturday, December 7, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kenin tumpaskan Kvitova untuk berentap di final

    PARIS, 9 OKT – Sofia Kenin berjaya menumpaskan Petra Kvitova 6-4, 7-5 untuk mara ke perlawanan akhir Terbuka Perancis semalam dalam usaha untuk merebut Grand Slam keduanya tahun ini setelah kemenangannya di Terbuka Australia.

    Kenin akan bertemu dengan pemain berusia 19 tahun, Iga Swiatek dari Poland dalam penentuan gelaran pada Sabtu ini setelah menewaskan juara Wimbledon dua kali, Kvitova yang dalam usaha merebut gelaran ketiganya. Swiatek menjadi wanita Poland pertama dalam 81 tahun yang mara ke final Roland Garros ketika dia menyingkirkan pemain Argentina, Nadia Podoroska 6-2, 6-1.

    “Saya tahu saya harus berada di tahap terbaik. Saya sangat gembira dan bangga dengan diri sendiri,” kata Kenin.

    Pemain dari Amerika Syarikat itu goyah ketika membuat pukulan servis di perlawanan pada kedudukan 5-4 tetapi berjaya mematahkan Kvitova pada pusingan berikutnya sebelum menutup kemenangan ke atas pemain Czech itu.

    Kenin, 21, akan berusaha menjadi wanita pertama yang memenangi dua Grand Slam pada musim yang sama sejak Angelique Kerber meraih gelaran Terbuka Australia dan AS pada 2016.

    Aksi Sofia Kenin dari AS semasa menentang Petra Kvitova dari Republik Czech di kejohanan tenis separuh akhir Terbuka Perancis The Roland Garros 2020 di Paris semalam. – AFP

    “Saya telah menang di Australia dan menjalani perlawanan yang sukar minggu ini sehingga memberi saya keyakinan,” kata Kenin.

    “Saya akan menikmati saat ini dan kemudian mula membuat persiapan untuk final esok.”

    Sebelum musim ini, Kenin tidak pernah mara ke suku akhir di kejohanan tenis tanah liat. Dia tewas satu-satunya pertandingan tahun ini sebelum Roland Garros, 6-0, 6-0 kepada Victoria Azarenka di Rom.

    Kenin, yang dibawa ke tiga set dalam empat daripada lima perlawanannya mara ke separuh akhir di sini, mendahului 4-1 pada set pertama menentang Kvitova.

    Perlawanan final Terbuka Perancis ini akan menjadi yang pertama yang menampilkan dua pemain berusia 21 tahun ke bawah sejak Maria Sharapova menewaskan rakannya, Ana Ivanovic yang berusia 20 tahun di Terbuka Australia 2008. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda