KOTA KINABALU, 28 APRIL – Daerah Keningau dipilih sebagai tuan rumah pelancaran sambutan perayaan Pesta Kaamatan peringkat Sabah pada 1 Mei ini bermula 9 pagi di Pusat Kraftangan, Keningau.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan berkata pemilihan Keningau bagi memperingati beberapa etnik terdahulu memulakan pesta tersebut di daerah itu dan terletaknya Batu Sumpah bagi menghormati adat dan budaya Orang Asal.
Beliau berkata hari kemuncak sambutan itu akan diadakan di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Murut (KDCA), Penampang pada 31 Mei depan.
“Sambutan kali ini juga memperkenalkan program baharu iaitu memberikan anugerah kepada tiga kategori petani yang menunjukkan prestasi baik dalam pertanian iaitu pengeluar padi terbaik, pengeluar makanan ternakan terbaik dan perikanan terbaik,” katanya pada sidang media.
Keningau sebuah daerah di pedalaman Sabah berkeluasan 3,533km persegi dan terletak kira-kira 110 kilometer ke selatan dari Kota Kinabalu.
Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah berkata pada sambutan pesta itu, kerajaan negeri turut mengekalkan pematuhan SOP dengan pengunjung dan pihak penganjur diwajibkan memakai pelitup muka. – Bernama