NAIROBI, 25 MEI – Kenya kelmarin melancarkan stesen pengecasan pertamanya untuk bas elektrik awam dalam usaha untuk meningkatkan peralihan negara ke arah mobiliti hijau.
Jit Bhattacharya, Ketua Pegawai Eksekutif BasiGo, syarikat start up Kenya, berkata stesen pengecas pantas DC berkuasa tinggi yang mempunyai kapasiti untuk mengecas enam bas elektrik secara serentak dibangunkan dengan sokongan utiliti kuasa milik kerajaan, Kenya Power.
“Stesen pengecas itu adalah yang pertama disambungkan kepada tarif e-mobiliti baharu Kenya yang telah diluluskan pada Mac tahun ini yang menyediakan kuasa kos rendah untuk mengecas kenderaan elektrik pada waktu malam apabila negara itu mempunyai lebihan bekalan tenaga boleh diperbaharui,” kata Bhattacharya.
Joseph Siror, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kenya Power, berkata sektor pengangkutan di negara itu kini menyumbang kepada 12 peratus daripada semua pelepasan gas rumah hijau. – Xinhua
