NAIROBI, 13 Ogos – Ketegangan masih memuncak di Kenya hari ini selepas 11 orang mati dalam protes ganas dan pembangkang pula tetap dengan pendiriannya menuntut pemilihan semula Presiden Uhuru Kenyatta dibatalkan.
Meskipun kebanyakan di negara itu tenang situasinya, penyokong yang membaling batu saingan veteran yang kalah, Raila Odinga bertempur semalam dengan pasukan keselamatan di kubu kuat pembangkang di barat dan setinggan di ibu negara, Nairobi.
Seorang pegawai kanan polis memberitahu AFP tanpa mengenalkan dirinya bahawa lapan mayat dari setinggan Nairobi tiba di rumah mayat bandar dan seorang jurugambar AFP melihat mayat seorang gadis yang keluarganya mengatakan dia ditembak di belakang ketika melihat bantahan dari sebuah balkoni. Di barat Kenya, seorang pegawai polis mengatakan seorang lelaki terbunuh semasa satu bantahan di bandar Siaya dan pegawai kerajaan setempat, Wilson Njega mengesahkan seorang ditembak mati dalam bantahan di Kisumu.
Ia masih tidak jelas langkah seterusnya bagi pakatan pembangkang Pakatan Super Nasional (NASA) Odinga, namun ketua parti mengatakan mereka sama sekali tidak akan beralah atau membawa kes mereka ke mahkamah.
“Kami tidak akan gentar, tidak akan berlembut,” kata pegawai NASA, Johnson Muthama memberitahu wartawan semalam. – AFP