Thursday, February 20, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kenyataan BRN ‘suatu perkembangan positif’

    BANGKOK, 12 April – Kenyataan oleh Barisan Revolusi Nasional (BRN) baru-baru ini dilihat sebagai suatu perkembangan positif yang menunjukkan kumpulan itu tidak menolak secara langsung proses damai selatan Thailand.

    Dr Abu Hafez Al Hakim, seorang daripada pemimpin kanan Mara Patani (Majlis Syura Patani) berkata, sama ada perkembangan itu memberi kesan bergantung pada kesediaan BRN menampilkan wakilnya yang bermandat ke meja dialog itu.

    “Siaran media BRN itu adalah suatu perkembangan POSITIF bahawa BRN tidak menolak secara langsung proses damai jika berpaksikan kepada syarat-syarat dan keadaan seperti yang digariskan itu,” katanya kepada Bernama dalam kapasiti peribadinya hari ini.

    BRN dilihat ramai sebagai kumpulan yang paling berpengaruh dan berkemampuan di selatan Thai dan penglibatannya dalam proses damai ditagih bagi menjayakan proses damai di wilayah bergolak itu.

    Dalam kenyataannya Ahad lepas, kumpulan itu menggariskan tiga tuntutan bagi kejayaan proses damai termasuk ia mesti berdasarkan kesediaan kedua-dua pihak, pelantikan orang tengah yang berkecuali dan proses rundingan diatur oleh perunding serta dipersetujui terlebih dahulu sebelum rundingan bermula.

    Dr Abu Hafez berkata, wakil BRN turut menyertai meja rundingan ketika ini dan mereka perlu menyelaraskan sesama sendiri dalam membuat perubahan serta pembaikan bersama wakil kumpulan-kumpulan lain.

    Mara Patani, sebuah badan yang dianggotai beberapa kumpulan selatan Thai dan kerajaan Thailand sedang terlibat dalam proses damai yang dikendalikan oleh kerajaan Malaysia.

    Kedua-dua pihak telah terlibat dalam beberapa siri rundingan dan pada akhir Februari lepas, mereka bersetuju untuk mewujudkan Zon Keselamatan di selatan Thai, walaupun perinciannya masih dirundingkan.

    Menurut pemimpin kanan Mara Patani itu, apa-apa persetujuan di antara kerajaan Thailand dan Mara Patani tidak akan berlaku dalam tempoh terdekat ini kerana masih banyak yang perlu dibincangkan.

    “Sebarang persetujuan pada masa depan akan pasti melibatkan semua pihak yang berkepentingan termasuk kerajaan Thailand, wakil-wakil pejuang dan juga rakyat tempatan,” katanya.

    Dr Abu Hafez menegaskan hanya melalui cara itu sahaja kemajuan boleh dicapai, yang akan mengubah keadaan kepada keamanan dan kedamaian. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda