Tuesday, March 25, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kepa hampir sertai Chelsea

    MADRID, 8 Ogos – Penjaga gol Athletic Bilbao, Kepa Arrizabalaga dijangka akan menyertai Chelsea dengan nilai perpindahan berjumlah 80 juta euro menurut laporan media Sepanyol kelmarin.

    Penjaga gol berusia 23 tahun mengumpul satu kap untuk Sepanyol, akan menjadi penjaga gol termahal dalam sejarah bagi menggantikan penjaga gol dari Belgium, Thibaut Courtois yang dijangka akan menyertai Real Madrid.

    Menurut laporan akhbar sukan Marca, Chelsea bersetuju dengan klausa pelepasan berjumlah 80 juta euro dalam kontrak Kepa, menewaskan rekod perpindahan yang dicatat oleh Liverpool semasa mendapatkan Alisson dari Roma dengan nilai 75 juta euro.

    “Chelsea telah memilih Kepa sebagai pengganti untuk Courtois yang beberapa jam lagi akan menjadi pemain baharu Real Madrid,” tulis Marca.

    Pesaing Marca, AS berkata ‘rundingan hampir selesai.’

    Kepa Arrizabalaga semasa menjalani sesi latihan bersama Sepanyol pada Piala Dunia yang lalu. Kepa hampir menyertai Chelsea bagi menggantikan Courtois yang dilaporkan bakal menyertai Real Madrid. – AFP

    “Jika semua berjalan dengan lancar, Kepa akan pergi ke London dan didedahkan sebagai pemain Chelsea baharu hari ini atau esok.”

    Akhbar Catalan, Mundo Deportivo juga melaporkan bahawa Kepa akan menyertai Chelsea.

    Media Britain juga mula melaporkan kelmarin dengan BBC juga melaporkan bahawa Kepa kini berbincang dengan kelab barat London itu.

    Kepa telah beraksi sebanyak 53 kali di La Liga untuk Bilbao bagi tempoh dua musim kebelakangan dan telah membuat penampilan antarabangsa pertama dalam perlawanan menentang Costa Rica pada November 2017 yang menyaksikan Sepanyol menang 5-0.

    Dia juga berada dalam skuad Sepanyol dalam Piala Dunia Rusia yang lalu sebagai pengganti untuk David De Gea tetapi tidak beraksi.

    Sementara itu, media Sepanyol juga mendakwa bahawa Chelsea dijangka akan membawa masuk pemain tengah dari Real Madrid, Mateo Kovacic secara pinjaman selepas membantu Croatia mara ke final Piala Dunia.

    Ujian sebenar Sarri sebagai pengurus Chelsea selepas menggantikan Antonio Conte adalah menentang Huddersfield Sabtu ini.

    Skuad kendalian pengurus berusia 59 tahun dari Itali itu tewas 2-0 kepada juara bertahan Liga Perdana, Manchester City pada hujung minggu lalu dalam saingan Community Shield.

    Chelsea berharap untuk pulih semula selepas gagal mempertahankan kejuaraan Liga Perdana pada musim lepas yang menyaksikan skuad The Blues menduduki tempat kelima dan gagal untuk layak ke Liga Juara-Juara. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda