Kepa termahal dunia

LONDON, 9 Ogos – Penjaga gol baharu Chelsea, Kepa Arrizabalaga yang dibeli dengan rekod dunia 72 juta pound menyifatkan perpindahan ke Stamford Bridge sebagai penting sepanjang kariernya.

Pemain berusia 23 tahun dari Sepanyol itu melengkapkan perjanjian bersama Chelsea dari Athletic Bilbao dengan kontrak selama tujuh tahun.

Perjanjian membabitkan Kepa menyaksikan rekod yang dibuat oleh Liverpool untuk membawa masuk Alisson ke Anfield bernilai 66.8 juta pound pada bulan lalu dipecahkan.

Alisson yang juga pemain kebangsaan Brazil dipercayai menjadi pilihan utama Chelsea untuk menggantikan Courtois, tetapi bekas pemain AS Roma itu memilih untuk bekerjasama dengan Jurgen Klopp.

“Ia keputusan yang amat penting untuk saya, untuk karier saya dan juga kehidupan peribadi saya,” kata Kepa. “Ada begitu banyak perkara yang menarik saya ke kelab ini, semua gelaran yang pernah dimenangi, pemain-pemainnya, bandarnya dan Liga Perdana Inggeris.

Kepa Arrizabalaga memegang jersi Chelsea semasa sidang akhbar di barat London selepas menyertai Chelsea dengan nilai perpindahan penjaga gol termahal di dunia dari Athletic Bilbao. – AFP

“Ia campuran begitu banyak perkara dan saya amat lega Chelsea memutuskan untuk mempercayai saya dan menggunakan khidmat saya.”

Pengarah Chelsea, Marina Granovskaia berkata, kelab itu sudah lama meminati Kepa dan pasukan amat teruja dengan kehadirannya.

“Beliau sudah menunjukkan kualiti yang menakjubkan dan juga konsisten dan akan memainkan peranan penting dalam setiap kejayaan Chelsea selepas ini,” katanya.

Kepa sebelum ini hampir menyertai Real pada Januari lalu, tetapi perbincangan itu gagal ketika harga yang diletakkan hanya sekitar 17.5 juta pound.

Ketika itu, kelab Serie A, Napoli yang dibimbing bos baharu Chelsea, Maurizio Sarri juga menunjukkan minat.

Sementara itu, Real Madrid sah mengikat pemain Belgium, Thibaut Courtois dari Chelsea, manakala pemain tengah Croatia, Mateo Kovacic beralih arah ke kelab London itu secara pinjaman.

Courtois bersetuju dengan kontrak selama enam tahun dan Real bersedia membayar 35 juta euro bagi mendapatkan penjaga gol Belgium itu, lapor media Sepanyol. – AFP