Kepadatan bandar raya mega beri risiko alam sekitar

KUALA LUMPUR, 11 NOV – Kepadatan pelbagai bandar raya mega di rantau ASEAN ternyata memberi risiko alam sekitar yang ketara, sekali gus membuktikan kepentingan untuk menumpukan usaha mempertingkat aspek kecekapan tenaga, kata pakar.

Naib Presiden Kanan ABB Motion Asia, R Narayanan berkata sejajar dengan kedudukannya sebagai tumpuan perubahan sosial dan kemakmuran ekonomi, bandar raya mega juga semakin pesat sebagai sumber pelepasan gas rumah hijau.

“Bagaimanapun, pelaksanaan tindakan seperti mengenal pasti sumber dan peluang untuk memanfaatkan tenaga cekap yang boleh memberi impak besar sebaliknya akan menjadikan bandar raya-bandar raya mega ini sebagai peneraju usaha bagi menangani krisis iklim,” katanya pada sesi meja bulat ASEAN Energy Efficiency Imperative secara maya, hari ini.

Sementara itu, Presiden ABB Motion Morten Wierod pula berkata terdapat peluang besar bagi usaha penyahkarbonan industri dan prasarana yang seiring dengan pertumbuhan pesat bandar raya mega terbabit.

Malah, tegasnya, hala tuju masa depan yang cekap tenaga turut bergantung kepada usaha pelaburan dalam teknologi motor terkini selain faktor lain yang dapat meningkatkan penjimatan tenaga.

Kepadatan bandar raya mega di rantau ASEAN ternyata memberi risiko alam sekitar. – Xinhua

“Oleh itu, ASEAN boleh menjadi peneraju usaha terbabit dengan mengambil tindakan positif merangka pelan hala tuju bagi pelaksanaan ketetapan kecekapan minimum untuk motor-motor elektrik dalam usaha membentuk masa depan yang rendah karbon,” katanya.

ABB Motion merupakan unit ABB Ltd iaitu sebuah syarikat peneraju teknologi global yang menjana transformasi masyarakat serta industri bagi mencapai masa depan lebih produktif dan mampan.

Menurut ABB, menerusi fasa kedua Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN yang menetapkan sasaran pengurangan intensiti tenaga yang lebih besar sebanyak 32 peratus menjelang 2025 berdasarkan paras 2005, tumpuan juga perlu diberikan terhadap tiga sektor utama iaitu bangunan, pengangkutan dan industri bagi meningkatkan penerimagunaan tenaga cekap.

Ia turut menyifatkan ABB berada di barisan hadapan bidang terbabit termasuk makanan dan minuman selain air dan air buangan yang merupakan elemen penting dalam pembangunan bandar raya-bandar raya mega yang mampan.

Menurutnya, menerusi kerjasama ABB dengan pihak berkepentingan di serata rantau itu turut membolehkan syarikat tersebut menggunakan teknologi motor dan pemacu yang maju bagi membantu kalangan penggiat tempatan mengoptimumkan operasi serta dapat mengurangkan impak terhadap alam sekitar. – Bernama