Kepakaran dalam menghasilkan keunikan dan kepelbagaian jenis perabot

Oleh Nurdiyanah R.

 

BERMULA dari satu hobi dalam seni rekaan pembuatan perabot, justeru menjadikan insan yang bersemangat tinggi ini mampu mengalirkan idea-idea dalam menghasilkan keunikan pelbagai jenis rekaan perabot yang tersendiri.

Semua rekaan perabot dicipta dengan ciri-ciri estetik dan nilai kemewahan yang terkini semestinya mampu menarik pandangan sesiapa sahaja yang melihatnya.

Antara jenis rekaan perabot yang dihasilkan ialah almari perhiasan, meja, kerusi, rak-rak serba guna, tabung dengan variasi saiz dan bentuk dan sebagainya. Pastinya semuanya menepati cita rasa para pelanggannya.

“Melihat kegembiraan dan kepuasan di wajah para pelanggan itulah menjadi suatu kenangan terindah yang saya alami sepanjang menjalani perniagaan pembuatan rekaan perabot ini,” ujar Awang Iskandar bin Haji Duraman dengan nada terharu ketika mengimbas detik manisnya dalam menerokai dunia perniagaan pembuatan rekaan perabot ini bersama isterinya, Dayang Noorhaslinda binti Haji Jamaat.

Wartawan Media Permata berkesempatan menemui pengusaha sambilan dalam bidang pembuatan rekaan perabot itu bersama isterinya, sejak tahun 2015, semasa Ekspo Happy Days yang telah berlangsung di Dewan Muhibah, Lapangan Terbang Lama, Berakas baru-baru ini.

Awang Iskandar semasa ditemui oleh wartawan Media Permata.

Bermulanya satu bakat

Wujudnya sesuatu bakat dan kemahiran sememangnya anugerah daripada Allah Subhanahu Wata’ala, namun dengannya Awang Iskandar tetap sentiasa berfikiran positif dan merendah diri untuk mempelajari segala ilmu pembuatan perabot ini dari semasa ke semasa antaranya menerusi laman sesawang dan blog-blog di Internet.

Dari sini, lahirnya satu keyakinan dalam diri beliau untuk mencuba dan terus mencuba membuat perabot dengan cara tersendiri mengikut arus kemodenan.

Walau bagaimanapun dengan adanya pendidikan dan pengalaman yang berharga dalam menimba ilmu asas pertukangan dan pembinaan selama enam tahun setengah, menjadikan beliau berani untuk meneruskan perniagaan pembuatan perabot ini secara sambilan sehingga sekarang.

Bermula dari mengikuti bidang pendidikan teknikal bahagian Pertukangan Kayu (Carpenter) semasa menuntut di Sekolah Vokasional Nakhoda Ragam selama setahun setengah pada tahun 2000 dan kemudian beliau meneruskan pengajian lagi di Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal (MTSSR) dalam program Pembuatan Perabot dan Kabinet (Furniture and Cabinet Making) juga selama setahun setengah.

Dengan kecekalan hati, beliau meneruskan lagi pengajian dalam bidang Pembinaan (Construction) secara dalam perkhidmatan di maktab yang sama melalui peringkat Pre-National Diploma (PND) selama setahun dan diikuti dengan National Diploma (ND) dalam masa dua tahun setengah.

Kualiti satu keutamaan

Hanya memerlukan masa sehari sahaja untuk menyiapkan rak televisyen dan jangka masa dua hari bagi sebuah meja, itulah antara kelebihan yang dimiliki oleh Awang Iskandar untuk memenuhi permintaan para pelanggannya.

“Namun begitu, kualiti adalah menjadi keutamaan saya daripada semua aspek dalam proses pembuatan rekaan perabot ini,” jelas Awang Iskandar lagi.

Bermula daripada pemilihan bahan bagi setiap rekaan perabot yang dikehendaki oleh para pelanggan seperti papan dan kayu daripada jenis plywood, blockboard, polyster dan sebagainya. Diikuti pula dengan pemilihan bahan yang bersifat halus dan licin untuk lapisan luar rekaan perabot iaitu dikenali sebagai laminated formica, mengikut pilihan warna pelanggan melalui katalog yang telah disediakan oleh beliau.

Kabinet dapur yang tersusun rapi berjaya dihasilkan oleh Awang Iskandar untuk para pelanggannya.
Satu set meja rekaan Awang Iskandar dengan menggunakan kayu terpakai.
Almari petak di salah sebuah gedung perniagaan yang ditempah daripada Awang Iskandar.

Dalam menyiapkan sesebuah perabot, beliau perlu melalui proses-proses tertentu, bermula dari langkah melekatkan dan mengecat bahan kayu atau papan menggunakan bahan-bahan utama antaranya gam pelekat kayu atau papan, skru dan paku perabot dan semburan cat perabot.

Pelbagai alat-alat mesin juga digunakan seperti dua jenis mesin menghalusi kayu atau papan yang dikenali sebagai Thickness Planer Machine dan Sanding Machine. Sliding Miter Saw sebagai mesin pemotong kayu atau papan. Air Compressor Machine sebagai alat untuk memasang paku pada kayu atau papan.Cordless Drill untuk menemukan skru pada bahan perabot dan sebagainya.

Apa yang penting, setiap pembuatan rekaan perabot yang beliau hasilkan pastinya memerlukan kesabaran, ketekunan serta semangat yang tinggi agar proses pembuatannya berjalan dengan lancar dan menepati cita rasa pelanggan.

Memori terindah

Walaupun pernah mengalami cabaran-cabaran di sepanjang menjalani perniagaan sambilan ini seperti tempahan perabot dibatalkan oleh sesetengah pelanggan disaat-saat akhir dan pembayaran perabot yang tidak dilunaskan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, namun ia tidak menjadikan Awang Iskandar dan isterinya menyerah dan berputus asa.

Malah kekuatan dan keteguhan hati tetap utuh di jiwa suami isteri ini kerana hadirnya sokongan-sokongan dam maklum balas yang tidak disangka-sangka daripada para pelanggan mereka yang mengungkapkan perasaan berpuas hati dengan hasil rekaan perabot yang ditempah, walaupun tempahan hanya dibuat berdasarkan ilustrasi gambar.

“Salah satu kenangan manis yang tidak pernah saya lupakan apabila para pelanggan menemuinya untuk menyatakan kepuasan hati beliau dengan hasil reka bentuk perabot yang ditempah, walaupun memerlukan perbelanjaan yang lebih tinggi berbanding dengan perabot yang sudah tersedia di gedung-gedung perniagaan di negara ini,” ujar Awang Iskandar sambil tersenyum.

Rak serba guna seperti untuk menyimpan sudu, cawan dan paket-paket minuman segera.
Antara barang-barang yang dihasilkan oleh Awang Iskandar seperti tabung, kotak tisu, rak penyimpan piala, rekaan hiasan dinding, dan rak penyimpanan peralatan pancing.
Cermin yang mampu memberikan kesan elegan dengan hiasan lampu-lampu yang menambahkan lagi seri kemodenannya yang dicipta oleh Awang Iskandar mengikut cita rasa pelanggannya.

Usaha tangga kejayaan

Memulakan perniagaan ini hanya dalam lingkungan ahli keluarga terdekat sahaja sebagai pelanggan, namun sambutan daripada orang ramai itu semakin meningkat apabila pada suatu ketika rakan-rakan dalam kalangan ahli keluarga berkunjung ke rumah ahli keluarga beliau, di sanalah mereka mula tertanya-tanya dan tertarik melihat hasil karya rekaan perabot yang dicipta oleh Awang Iskandar.

Bermula dari detik itulah sambutan dari masyarakat di negara ini semakin menggalakkan dari hari ke hari sama ada melalui aplikasi WhatsApp dan juga secara walk-in.

“Bersakit-sakit dahulu, Bersenang-senang kemudian” itulah yang dapat digambarkan bagi perjuangan Awang Iskandar dalam menjalankan perniagaan ini, di mana walaupun modal untuk mengorak langkah memulakan perniagaan ini sangat tinggi pada asalnya iaitu dalam anggaran $9,000 hingga $10, 000 demi untuk menyediakan kelengkapan mesin-mesin dan bahan-bahan perabot.

Namun dengan keyakinan hati beliau atas rezeki itu jaminan Allah Subhanahu Wata’ala, maka keuntungannya dapat beliau rasai sehingga kini.

Sebuah harapan

Di bawah nama Syarikat ‘Hafidh Furniture Custom, pasangan suami isteri ini berharap agar perniagaan mereka akan dapat dikenali oleh masyarakat di negara ini sehingga terus mewarnai industri perusahaan di negara ini dari semasa ke semasa.

Awang Iskandar yang kini memiliki sebuah bengkel persendirian di kawasan rumah kedua orang tuanya di Kampung Lambak Kanan untuk mengusahakan perniagaan sambilannya, juga terdetik di hatinya berhasrat untuk memiliki sebuah bilik pameran di bawah nama syarikatnya.

Keperibadian penentu segalanya

Di akhir temu ramah, Awang Iskandar dan isterinya sempat berpesan agar setiap usahawan terutama generasi muda wajar untuk terus menyemai sifat sabar, rendah diri, sentiasa ikhlas, berjiwa kental dan tidak mudah berputus asa jika ingin menceburi dunia perniagaan yang semakin mencabar ini.

Apa yang penting, semangat juang dan doa yang tidak putus-putus kepada Yang Maha Esa, setentunya menjadi prinsip yang harus disemai di dalam diri dan jiwa setiap hamba Allah di dunia ini yang pastinya penting dalam mengharungi pelbagai pahit manis kehidupan.