Kepala jerung ditemui di pejabat kerajaan

SYDNEY, 12 Jun – Kepala jerung yang dipenggal, disumbat dengan puntung rokok dan sampah sarap lautan, ditemui dicucuk pada pagar di pejabat pertubuhan penyelamat marin Australia, dalam satu penemuan mengerikan yang mengundang kritikan di media sosial.

Sukarelawan Penyelamat Marin New South Wales di Shellharbour, kira-kira 100 kilometer ke selatan Sydney, tiba untuk menjalankan tugas pagi kelmarin dan menemui kepala jerung mako itu.

Pengurus operasi wilayah, Bruce Mitchell, memberitahu AFP bahawa ia adalah kali pertama dia mendengar kejadian seumpama itu, sambil menambah kepala itu kelihatan masih segar dan berkemungkinan ditangkap Sabtu lalu.

“Sesiapa yang menangkap jerung itu membawa ia balik ke bot dan membersihkannya, kemudian memenggal kepalanya,” kata Mitchell, menambah keseluruhan jerung itu seberat 70 kilogram.

“Mungkin seseorang datang pada waktu malam, menemuinya dan mahukan sedikit keseronokan. Ia satu kemungkinan.”

Mitchell berkata, pertubuhan sukarelawan, yang membantu pekerja bot ketika kecemasan dan keadaan lain, tidak menerima sebarang ancaman dan tidak merujuk kejadian itu kepada polis.

Penyelamat Marin menyiarkan kepala jerung itu di Facebook dan Twitter dan berkata kejadian berkenaan sebagai kekecewaan terbesar bagi sukarelawan yang komited memperuntukkan masa bagi menyelamatkan kehidupan air. – AFP