Kepantasan pekerja elak kebakaran kedai runcit

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Tindakan pantas seorang pekerja berjaya memadamkan kebakaran di sebuah kedai runcit di Kampung Kupang Tutong, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Cawangan Operasi E, Daerah Tutong, Jabatan Bomba dan Penyelamat, di sini, hari ini, panggilan mengenai kejadian berkenaan diterima pada pukul 7:23 pagi dan dua buah jentera bersama enam orang anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Lamunin, Tutong yang diketuai oleh ABK 517 Zakaria dikejarkan ke tempat kejadian.

Apabila tiba di tempat kejadian, penyiasatan dijalankan mendapati asap tebal dimana kebakaran telah pun berjaya dipadamkan oleh seorang pekerja kedai berkenaan.

Ahli-ahli bomba dan penyelamat bertindak dengan membawa dua alat pemadam api jenis Dry Powder 2.5 kilogram.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa punca dan kerugian kebakaran masih dalam penyiasatan dan tidak ada sebarang korban jiwa berlaku dalam kejadian itu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat menyarankan orang ramai untuk memastikan bahawa pemakaian elektrik tidak mencapai tahap lebih bebanan (overload), menutup suis mana-mana peralatan elektrik selepas menggunakannya atau meninggalkannya dalam masa yang lama, memastikan pendawaian dalam keadaan baik dengan membuat pemeriksaan menggunakan syarikat yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik dengan memastikan bangunan mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan seperti alat pemadam api yang bersesuaian (jenis ABC Powder), selimut api atau alat pengesan asap (battery operated).

Mereka juga disarankan untuk berhubung terus kepada pusat gerakan JBP melalui talian kecemasan 995 jika berlaku sebarang insiden kecemasan dan memberikan maklumat yang tepat.

Kejadian kebakaran di sebuah kedai runcit di Kampung Kupang Tutong, kelmarin. – Gambar serahan JBP