Saturday, April 20, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Kepelbagaian ekonomi pacu KDNK Negara

    Oleh Sim Y.H

    Setelah berjaya mengharungi pandemik pada 2020, Negara Brunei Darussalam telah dilanda gelombang baharu COVID pada separuh tahun kedua 2021 di mana negara telah menyaksikan peningkatan signifikan jumlah kes jangkitan dan langkah-langkah kawalan dilaksanakan.

    Pengurangan aktiviti perlombongan dan pengeluaran gas asli cecair (LNG) berserta dengan kesan negatif daripada varian pandemik yang baharu kepada perkhidmatan domestik, telah membawa kepada kelembapan ekonomi.

    Pada 2021, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah menguncup sebanyak 1.6 peratus, yang diterajui oleh kelembapan dalam perlombongan minyak dan gas, pengeluaran LNG dan aktiviti hiliran.

    Pada masa yang sama, pertanian dan beberapa sektor pembuatan bukan minyak dan gas telah menyaksikan pertumbuhan yang menggalakkan, walaupun bahagian sektor ini dalam jumlah KDNK kekal kecil. Dapatan itu dikongsi melalui kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang menyatakan bahawa Lembaga Eksekutif IMF telah membuat kesimpulan bagi konsultasi Artikel IV 2022 dengan Negara Brunei Darussalam atas dasar luput masa (lapse-of-time basis).

    Bagi 2022, pertumbuhan diunjurkan melantun semula kepada 1.2 peratus, berikutan pelonggaran kekangan mobiliti dan terma kejutan perdagangan yang positif disebabkan oleh lonjakan dalam harga minyak dan gas.

    Pertanian dan beberapa sektor pembuatan bukan minyak dan gas telah menyaksikan pertumbuhan yang menggalakkan, walaupun bahagian sektor ini dalam jumlah KDNK kekal kecil.
    Menyokong pertumbuhan hijau dan digital akan membantu untuk mengukuhkan daya tahan dijangka panjang.

    Inflasi pula, sementara kekal rendah pada 2.2 peratus pada akhir 2021, telah meningkat pada 2022 dan tekanan dijangka kekal tinggi dalam jangka pendek, disebabkan oleh gangguan bekalan dan harga bahan api serta makanan yang lebih tinggi.

    Kenyataan menyatakan bahawa ekonomi Brunei terus dipelbagaikan, dengan pertumbuhan dua angka sektor pertanian/makanan serta sektor baja yang baharu memulakan pengeluaran.

    Risiko kepada unjuran condong ke arah bawah, disebabkan kemungkinan varian COVID baharu, ketidakpastian global yang berkaitan dengan peningkatan konflik di Ukraine, pengetatan monetari dari Amerika Syarikat dan kelembapan pertumbuhan di China yang lebih besar daripada dijangkakan.

    Sebaliknya, harga tenaga yang lebih tinggi akan meningkatkan lagi syarat perdagangan dan memulihkan kedudukan fiskal dalam jangka pendek, sementara menyumbang sebahagiannya untuk membina penampan yang diperlukan untuk memastikan ekuiti antara generasi yang lebih kukuh.

    Dasar-dasar yang dilaksanakan harus terus menyokong pemulihan pada jangka pendek serta mempromosikan kepelbagaian ekonomi dalam jangka panjang. Menyasarkan sokongan fiskal yang memanfaatkan rizab fiskal Brunei yang mencukupi tanpa hutang awam, kekal kritikal untuk mengurangkan kesan pandemik kepada isi rumah dan perniagaan yang terdedah.

    Pada masa yang sama, pembaharuan untuk meningkatkan kemampanan fiskal dan ekuiti antara generasi harus dimajukan. Langkah-langkah bantuan pandemik kepada sektor kewangan harus dihapuskan sementara dasar monetari harus mengambil berat mengenai risiko inflasi. Langkah untuk menggalakkan pendalaman kewangan adalah kunci untuk memacu pembangunan sektor swasta. Kepelbagaian ekonomi, melangkaui minyak dan gas, harus dirancakkan dengan mengembangkan portfolio eksport dan menarikan pelaburan langsung asing (FDI) yang berkualiti.

    Di samping itu, dasar-dasar untuk membangunkan modal insan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan membantu untuk meletakkan asas bagi potensi pertumbuhan yang lebih tinggi. Manakala itu, menyokong pertumbuhan hijau dan digital akan membantu untuk mengukuhkan daya tahan dijangka panjang.

    Negara Brunei Darussalam juga telah melaksanakan usaha yang ketara dalam penyatuan fiskal dan kepelbagaian ekonomi, memudahkan pekerjaan sektor swasta dan menarik FDI.

    Beberapa inisiatif untuk memperbaiki kedudukan fiskal telah dilaksanakan seperti program penyatuan fiskal bertujuan untuk mengurangkan perbelanjaan membazir dalam jangka sederhana, pembendungan dalam pekerjaan awam (containment in public employment) serta pengenalan skim persaraan baharu untuk meningkatkan kadar sumbangan majikan.

    Pihak berkuasa juga telah mempercepatkan usaha mereka untuk mempelbagaikan ekonomi termasuk melalui menarik FDI besar dalam sektor penapisan minyak dan meningkatkan pelaburan dalam industri strategik seperti sektor hiliran minyak dan gas serta pertanian.

    Usaha berterusan dalam menyertai integrasi ekonomi serantau termasuk perjanjian Regional Comprehensif Economic Partnership (RCEP) yang berkuat kuasa pada 2022 dan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik yang baharu, telah dibuat untuk menyediakan peluang pelaburan dan akses kepada pasaran yang baru bagi usahawan dan industri di Brunei.

    Pihak berkuasa juga telah memperkenalkan pelbagai program seperti Program Perantis i-Ready dan Program Skills Plus, untuk meningkatkan kemahiran dan memberikan kemahiran baharu kepada tenaga kerja serta untuk menyesuaikan diri kepada permintaan majikan sektor swasta yang berubah.

    Mereka juga melaksanakan pelbagai dasar untuk menyokong pembangunan produktif PMKS seperti memudahkan akses kepada sumber pembiayaan serta memperbaiki latihan kemahiran keusahawanan.

    Laporan itu juga memetik beberapa penilaian yang dibuat oleh lembaga eksekutif di mana mereka memuji pihak berkuasa bagi melaksanakan dasar-dasar untuk mengurangkan kesan pandemik serta juga pemberian vaksinasi yang mengagumkan.

    Para pengarah juga menyaksikan pemulihan ekonomi yang kukuh sedang berjalan, dengan penarikan balik kawalan COVID, pelaburan dalam projek-projek petrokimia yang besar serta harga minyak dan gas yang lebih tinggi.

    Mengambil maklum mengenai dengan risiko kepada prospek yang condong ke bawah, para pengarah menekankan perlunya untuk mengekalkan dasar-dasar sokongan sehingga pemulihan yang diterajui oleh sektor swasta berada di laluan yang kukuh.

    Mereka juga menekankan keperluan bagi usaha pembaharuan yang berterusan untuk mempromosikan transformasi ekonomi, memupuk kedayatahanan dan mempercepatkan pertumbuhan inklusif, digital dan hijau.

    Para pengarah juga menekankan perlunya untuk mengekalkan sokongan fiskal yang bersasaran bagi isi rumah dan perniagaan yang terdedah dalam jangka dekat, sambil meningkatkan usaha pembaharuan fiskal untuk memperbaiki kemampanan fiskal dan ekuiti antara generasi dalam jangka panjang.

    Para pengarah mengalu-alukan usaha berterusan pihak berkuasa untuk mengukuhkan kedudukan fiskal dan mereka mengambil maklum beberapa inisiatif untuk memperbaiki keberkesanan perbelanjaan awam, menyelaraskan subsidi yang tidak disasarkan dan perbelanjaan sosial, merasionalkan pengangguran awam serta menggembleng pendapatan.

    Mereka juga mengambil maklum bahawa pelaksanaan penuh rangka kerja fiskal jangka sederhana akan membantu untuk menstabilkan kewangan awam.

    Para pengarah turut mengambil maklum bahawa operasi kecairan monetari harus beringat kepada risiko inflasi. Mereka mengalu-alukan kedayatahanan sektor perbankan dan usaha pihak berkuasa baru-baru ini untuk mengukuhkan rangka kerja penyeliaan dan kawal selia AML/CFT serta juga pelaksanaan rangka kerja Basel III serta menaikkan taraf ujian tekanan bagi memperbaiki kestabilan sektor kewangan.

    Para pengarah bersetuju bahawa memupuk pendalaman kewangan adalah kunci untuk memacu pembangunan sektor swasta. Para pengarah juga bersetuju bahawa penetapan kepada dolar Singapura kekal bersesuaian, menyediakan sauh nominal yang boleh dipercayai bagi kestabilan kewangan dan makro-ekonomi serta membantu untuk mendalamkan hubungan pelaburan dan perdagangan termasuk dengan Singapura.

    Mereka menekankan pentingnya bagi kepelbagaian berterusan untuk meningkatkan asas dan memastikan kedudukan luar yang seimbang bagi jangka sederhana. Para pengarah menggalakkan pihak berkuasa untuk terus mengembangkan portfolio eksport, menarik FDI berkualiti, memperbaiki persekitaran perniagaan, melabur dalam modal insan serta membangunkan PMKS.

    Mereka juga mengetengahkan bahawa memupuk pertumbuhan hijau dan digital akan menjana peluang pekerjaan dan perniagaan yang baru serta meningkatkan kedayatahanan ekonomi.

    Para pengarah juga mengambil maklum bahawa langkah-langkah yang diambil untuk memperbaiki pengurusan data dan menggalakkan pihak berkuasa untuk memperbaiki lagi pengedaran dan pengumpulan data. Mereka juga mengalu-alukan kerjasama rapat dalam pembangunan kapasiti (CD) dengan IMF baru-baru ini termasuk rancangan pihak berkuasa untuk meminta pembangunan kapasiti lanjut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...