Kepelbagaian hidangan berasaskan kelapa

Oleh Nurdiyanah R

Dengan tema ‘All About Coconut,’ Minggu Gastronomi Brunei yang bertujuan mewujudkan kesedaran terhadap masakan Brunei, sememangnya bermatlamat untuk menggalakkan lebih banyak hotel dan restoran menyediakan cara masakan yang lebih canggih dengan rasa yang dipertingkatkan serta hiasan yang menarik demi menyediakan pengalaman gastronomi istimewa kepada masyarakat di dalam mahu pun luar negara melalui hidangan berasaskan kelapa.

Oleh yang demikian bagi menyahut cabaran seni kulinari tempatan bersempena dengan acara berkenaan, Hotel Mulia juga tidak ketinggalan dalam mengetengahkan hidangan istimewa mereka yang pastinya memiliki keunikan yang tersendiri.

“Dunia kulinari ini begitu indah untuk diterokai dengan daya kreativiti yang tersendiri, dari satu bahan asas seperti buah kelapa itu sememangnya dapat dipelbagaikan sehingga dapat terciptanya keunikan hidangan yang mampu menawan hati seseorang, lebih-lebih lagi dengan adanya gabungan masakan Melayu dengan cita rasa lain sehingga mampu menjadikan hidangan yang menarik,” ucap Eksekutif Cef, Goldiana Restaurant, Hotel Mulia Cef Zamarul Hafizi Mohamed Ismail semasa ditemui penulis baru-baru ini.

Kerabu dari isi kelapa muda

Begitu istimewa sekali, apabila konsep masakan ala Melayu, Barat dan Thailand diadun menjadi salah satu hidangan pembuka selera sehingga terhasilnya keenakan masakan gabungan rasa masam, manis dan pedas.

Dikenali sebagai Grilled Shrimp with Coconut Kerabu di mana isi kelapa muda dihiris seperti masakan kerabu yang disirami dipermukaannya dengan adunan sos buatan sendiri yang istimewa termasuk hirisan lada padi, bawang merah, bawang putih, tomato, serai serta perahan jus limau.

Begitu istimewa sekali, apabila konsep masakan ala Melayu, Barat dan Thailand diadun menjadi salah satu hidangan pembuka selera sehingga terhasilnya keenakan masakan gabungan rasa masam, manis dan pedas yang dikenali sebagai Grilled Shrimp with Coconut Kerabu.
Cef Zamrul mengetengahkan hidangan istimewa sempena berlangsungnya Minggu Gastronomi Brunei dengan tema ‘All About Coconut’ pada tahun ini, semasa ditemui penulis, baru-baru ini.
Tepung Bungkus Coconut Macaroon Tart menonjolkan elemen hidangan penutup atau pencuci mulut dari kombinasi dua negara, Brunei dan Filipina yang mana menariknya adanya kreativiti daripada penggunaan air kelapa sebagai sos seakan-akan berbentuk sagu atau berbentuk seperti telur ikan (kaviar).
Stuffed Chicken Rolled with Tumeric Coconut Sauce and Sweet Potato Croquette pastinya mampu menawan hati sesiapa yang menikmatinya lebih-lebih dengan adanya keunikan hidangan yang menggabungkan masakan ala Timur dan Barat.

Digabungkan pula dengan udang segar yang dimasak secara dipanggang dalam hidangan yang diperap terlebih dahulu dengan rempah-ratus asli dari kunyit dan paprika serta taburan garam secukupnya sehingga berwarna kekuning-kuningan. Lebih menyelerakan lagi, ditambah dengan kesegaran daun salad.

Gulungan isi ayam bersama umbut kelapa

Manakala hidangan utama yang ditampilkan pula begitu menyelerakan dengan menggunakan bahan-bahan berasaskan dari umbut kelapa dan Bayam Jepun yang telah dimasak secara berasingan yang kemudiannya dicampur di dalam gulungan isi ayam segar yang dimasak secara panggang. Lebih istimewa lagi, apabila adunan bahan-bahan kisar terdiri dari santan kelapa, air, kunyit segar, lada padi dan bawang putih serta garam menghasilkan kelembutan sos pekat diserikan dengan taburan salsa nenas dipermukaan potongan gulungan isi ayam.

Diberi nama Stuffed Chicken Rolled with Tumeric Coconut Sauce and Sweet Potato Croquette pastinya mampu menawan hati sesiapa yang menikmatinya lebih-lebih lagi dengan adanya keunikan hidangan yang menggabungkan masakan ala Timur dan Barat.

Air kelapa ala telur ikan

Dikenali dengan nama ‘Tepung Bungkus Coconut Macaroon Tart’, Cef Zamrul menjelaskan bahawa beliau menerapkan elemen hidangan penutup atau pencuci mulut ini dari kombinasi dua negara, Brunei dan Filipina.

Permukaan hidangan tepung bungkus itu diperbuat daripada bahan-bahan utama iaitu santan kelapa, air dan tepung beras dimasak dengan api yang sederhana yang mana berintikan adunan hirisan isi kelapa segar dan gula Melaka serta daun pandan.

Diserikan pula dengan potongan makarun yang berintikan hirisan isi kelapa kering. Menariknya air kelapa digunakan sebagai sos yang seakan-akan seperti sagu atau berbentuk seperti telur ikan (caviar) dan juga sos kepekatan gula Melaka.