Kepelbagaian inovasi mampu tingkatkan kualiti pendidikan

Oleh Sim Y. H.

Kualiti pendidikan memberikan impak yang tinggi kepada kemajuan dan kejayaan sesebuah negara, kerana pendidikan boleh dianggap sebagai wadah pembinaan negara dan bangsa.

Sehubungan itu, negara-negara maju dan membangun tidak terkecuali negara kita telah melakukan pelbagai usaha dan inisiatif dalam bidang pendidikan semata-mata untuk meningkatkan dan mengukuhkan lagi kualiti pendidikan di negara masing-masing.

Melalui tema Hari Guru 2021, ‘Pendidikan Berkualiti Teras Kecemerlangan Pelajar’, membawa maksud pendidikan berkualiti dapat memberikan kehidupan yang lebih baik serta dapat membentuk manusia yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Di mana ia menjadi asas kepada kecemerlangan pelajar iaitu kejayaan menguasai ilmu dan kemahiran dalam bidang akademik serta menguasai bidang-bidang yang lain seperti kepimpinan dan keusahawanan serta mempunyai akhlak dan jati diri yang terpuji.

Tidak dapat dinafikan di negara kita, pelbagai usaha dan inisiatif telah dan sedang dilakukan oleh pihak Kementerian Pendidikan bersama dengan pihak-pihak berkepentingan yang membawa kepada inovasi dalam bidang pendidikan.

Hajah Rashidah, guru Bahasa Melayu Peringkat ‘A’, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan
Menurut Dayang Nurun Nazihah, guru bukan hanya sekadar menyampaikan isi kandungan pelajaran tetapi juga untuk memastikan ia berkualiti dengan menerapkan kemahiran-kemahiran di abad ke-21. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan
Dayang Nur Hanisah semasa melakukan sesi pengajaran dari rumah. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan
Kecemerlangan pelajar sangat bergantung pada cara seseorang guru itu mendidik.

Usaha ini bertujuan untuk membentuk generasi berpengetahuan dan berkemahiran yang akan menyumbang kepada pembangunan negara ke arah Wawasan Brunei 2035.

Bagi mencapai tema itu, ia memerlukan guru-guru memainkan peranan serta menjiwai pengertian pendidikan berkualiti untuk dijadikan teras kecemerlangan pelajar.

Menurut guru Bahasa Melayu Peringkat ‘A’, Hajah Rashidah binti Mohd Alai yang mengajar pelajar tingkatan enam atas di Pusat Tingkatan Enam Sengkurong berkata pendidikan berkualiti itu memerlukan guru yang berkualiti sungguhpun banyak ciri yang boleh menyumbang kepada proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan tetapi yang paling penting ialah kualiti interaksi yang wujud antara guru dan pelajar.

“Guru pada abad ini perlu memiliki pengetahuan yang mendalam terhadap subjek yang diajarkan atau lebih dikenali sebagai pedagogical content knowledge, ketangkasan daya cipta atau kreatif dan guru juga perlu kaya dengan strategi pengajaran mengikut tren semasa dan mengikut keperluan para pelajar yang pelbagai kebolehan.

“Selain itu, setiap guru juga perlu memiliki disiplin kendiri yang positif dan sentiasa mahu melihat kecemerlangan pelajarnya di samping memiliki sikap empati terhadap anak-anak didik. Dengan adanya guru yang berkualiti, misi dan visi negara pasti akan tercapai,” tambahnya.

Sementara itu, guru mata pelajaran Biologi, Dayang Nurun Nazihah binti Mohammad Yasmin yang mengajar Tahun 9 dan Tahun 11 di Sekolah Menengah Perdana Wazir, Kuala Belait berkata tema Hari Guru 2021 membawa maksud akan pendidikan seorang guru itu.

Di mana, guru bukan hanya sekadar menyampaikan isi kandungan pelajaran tetapi juga untuk memastikan ia berkualiti dengan menerapkan kemahiran-kemahiran di abad ke-21 seperti kemahiran ICT, kolaborasi, pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah pada pengajaran serta pembelajaran para pelajar.

“Ini bagi memastikan para pelajar bukan sahaja mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam akademik, bahkan dalam masa yang sama dapat menguasai kemahiran-kemahiran di abad ke-21,” ulasnya.

Manakala, bagi guru mata pelajaran Bahasa Inggeris, Dayang Nur Hanisah binti Muhd Hanafi yang mengajar Tahun 4 dan Tahun 6 di Sekolah Rendah Muda Hashim, Tutong, berkata kecemerlangan pelajar sangat bergantung pada cara seseorang guru itu mendidik.

“Keupayaan guru memberikan pendidikan yang berkualiti akan menghasilkan pelajar-pelajar yang cemerlang, bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik namun cemerlang dalam konteks yg lebih luas termasuk, sahsiah dan keperibadian pelajar,” jelas beliau.

Jelas bahawa kualiti pendidikan bukan hanya melibatkan aspek perancangan yang rapi, kandungan kurikulum yang berprestij, kepelbagaian projek dan inovasi, prasarana yang kondusif, sumber tenaga manusia yang berkualiti serta hasil pencapaian yang cemerlang, bahkan juga melibatkan aspek daya tahan dalam pelaksanaannya.

Oleh itu, sistem pendidikan yang dinamik dan berdaya tahan akan dapat dilaksanakan dengan berkesan sekalipun dalam menghadapi suatu krisis, bencana atau situasi yang sukar.

Kepelbagaian inovasi serta daya tahan dalam pelaksanaan sistem pendidikan mampu meningkatkan kualiti pendidikan yang merupakan teras kepada kecemerlangan pelajar.

Tanpa sistem pendidikan yang berkualiti, para pelajar khasnya malah bangsa dan negara juga amnya akan tertinggal jauh di belakang pelajar-pelajar daripada bangsa dan negara lain.

Pelajar yang cemerlang setentunya akan mampu bersaing atau sekurang-kurangnya setara dengan pencapaian pelajar di negara maju lainnya.

Bagi konteks Negara Brunei Darussalam, pelajar cemerlang perlu mempunyai akhlak dan jati diri yang baik serta dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang dimilikinya ke arah pembangunan dan kemajuan negara khususnya bagi merealisasikan Wawasan Brunei 2035.