Kepelbagaian produk tempatan tonjolkan daya produktiviti Daerah Tutong

Oleh Nurdiyanah R.

INDAHNYA sebuah destinasi apabila berpeluang untuk menjejakkan kaki ke kawasan pedalaman yang masih terserlah persekitarannya dengan tumbuhan hijau.

Kawasan yang dipenuhi dengan suasana ketenangan dan jauh daripada kesibukan bandar pada jarak sekitar 30 kilometer dari Pekan Tutong, itulah Mukim Ukong iaitu salah satu daripada lapan mukim di Daerah Tutong.

Sebuah mukim yang mempunyai keluasan kira-kira 144 kilometer per segi di mana sebanyak 390 buah rumah didiami oleh sekitar 2,200 penduduk secara keseluruhannya itu terdiri daripada penduduk Melayu, masyarakat Cina dan Iban.

Sehubungan dengan itu, wartawan Minda kali ini tidak melepaskan peluang untuk menerokai ekonomi yang diusahakan oleh penduduk di mukim tersebut yang sememangnya jelas membuktikan bahawa semangat juang mereka dalam menghasilkan sesuatu produk dari sumber alam yang sedia ada di mukim berkenaan sehingga mewujudkan bidang keusahawanan dan sekali gus meningkatkan sektor pelancongan.

Hal inilah yang sememangnya sesuatu yang dapat membuka minda kita semua agar sentiasa memanfaatkan khazanah alam dengan sebaik-baiknya dengan harapan dapat mengubah keadaan masyarakat agar menjadi rakyat yang rajin berusaha, berinovasi, rela ‘berjarih, berkarih dan berlurih’, hingga mendorong ke arah kematangan dan sikap berdikari iaitu keupayaan masyarakat ke arah ‘sara diri’.

Datin Hajah Rosni selaku ketua rombongan Muslimah Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop yang telah membuat lawatan ke Kilang Sagu dan Galeri Warisan Kraf tangan Majlis Perundingan Mukim Ukong baru-baru ini melahirkan perasaan gembira dan teruja menyaksikan hasil produk tempatan keluaran penduduk mukim berkenaan yang begitu menarik daripada sumber-sumber asli serta mempunyai keunikan yang tersendiri.
Awang Kibat menjelaskan bahawa dengan adanya kilang pembuatan sagu di mukim ini, ia telah banyak menarik pelancong sehingga sekaranga sama ada dari kalangan masyarakat tempatan dan juga luar negara termasuklah penuntut-penuntut, belia-belia dan warga emas.
Dayang Yatun (tengah) ketika ditemui oleh wartawan Media Permata.
Kilang Sagu atau Ambulung yang bersumberkan dari pokok rumbia terletak di Kampung Ukong, Mukim Ukong.
Pokok rumbia yang sudah ditebang dan dipotong-potong untuk diproses dalam mesin pengisar kebiasaanya djumpai di kawasan-kawasan berpaya di Kampung Ukong dan sekitarnya meliputi Kampung Long Mayan, Kampung Layong, Kampung Penapar dan Sungai Damit di Daerah Tutong.

Tepung Sagu yang sudah siap dibungkus untuk dipasarkan ke kedai-kedai runcit dan pasar raya terutamanya di Daerah Tutong.

Selain dari produk tepung sagu, kilang berkenaan juga menghasilkan produk-produk hiliran seperti kuih mor pandan sagu, biskut sagu dan sebagainya.

Antara barangan anyaman berasakan daun mengkuang yang menarik lagi penuh kreatif dengan pelbagai bentuk dan saiz seperti bakul, tikar, beg, barangan cenderhati dan sebagainya yang dihasilkan oleh penduduk Mukim Ukong yang dipamerkan di Galeri Warisan Kraftangan Majlis Perundingan Mukim Ukong.

Dari pokok rumbia

Antara produk yang dihasilkan oleh penduduk mukim ini ialah sagu atau dikenali sebagai ambulung yang merupakan bahan utama dalam pembuatan hidangan ambuyat iaitu salah satu makanan tradisional masyarakat Brunei sejak dahulu lagi yang mana ia merupakan sejenis tepung kanji yang diperoleh daripada batang pokok rumbia.

Lazimnya pokok-pokok tersebut tumbuh di kawasan campuran tanah paya dan tanah liat.

Wakil pengurus satu-satunya kilang sagu, Kampung Ukong di mukim berkenaan milik Syarikat Perusahaan Sagu Yong Pin Chin dan Anak-Anak, Awang Kibat bin Aboi menjelaskan bahawa pokok rumbia kebiasaannya diperolehi dari kawasan-kawasan berpaya di Kampung Ukong dan sekitarnya meliputi Kampung Long Mayan, Kampung Layong, Kampung Penapar dan Sungai Damit di Daerah Tutong.

Pokok rumbia yang dipilih itu setentunya telah mencecah usia sekurang-kurangnya 10 hingga 13 tahun yang berpotensi untuk ditebang dan diproses.

“Pada awalnya kilang ini beroperasi secara tradisional sejak awal tahun 1970an, namun kini peralatan moden seperti mesin pemotong kayu dan pengisar juga telah digunakan. Kini perusahaan itu mempunyai beberapa pekerja tempatan dan luar negara,” tambahnya lagi.

Beliau turut menyatakan bahawa tepung sagu yang sudah siap dibungkus itu akan dipasarkan ke kedai-kedai runcit dan pasar raya terutamanya di Daerah Tutong.

Selain daripada produk tepung sagu, kilang berkenaan juga menghasilkan produk-produk hiliran seperti kuih mor pandan sagu, biskut sagu dan sebagainya.

“Dengan adanya kilang pembuatan sagu di mukim ini, ia telah banyak menarik minat pelancong sehingga sekarang sama ada dari kalangan masyarakat tempatan dan juga luar negara termasuklah penuntut-penuntut, belia-belia dan warga emas,” ujarnya yang kini berusia 47 tahun dengan nada penuh kegembiraan.

Kesenian berasaskan daun mengkuang

Di samping itu, penduduk Mukim Ukong juga masih mengekalkan kemahiran tradisi mereka melalui seni kraf tangan anyaman yang turut dipamerkan di Galeri Warisan Kraf tangan Majlis Perundingan Mukim Ukong, Daerah Tutong di Kampung Bukit, di mukim berkenaan.

Pelbagai barangan yang menarik serta penuh kreatif ditonjolkan oleh para penggiat seni kraftangan anyaman yang berasal dari mukim berkenaan.

Semasa ditemui salah seorang penggiat dalam seni kraftangan anyaman tradisional yang menetap di Kampung Ukong di mukim ini, Dayang Yatun menjelaskan bahawa kesemua produk barangan kraf tangan ini adalah bersumberkan daripada daun mengkuang. Daun mengkuang ini kebiasaannya boleh didapati di kawasan berbukit dan berpaya.

“Dengan menjalankan proses-proses seperti membuang duri-duri di daun mengkuang sehingga sesi pengeringan, baharulah boleh diciptakan rekaan barangan anyaman yang menarik dengan pelbagai bentuk dan saiz seperti bakul, tikar, beg, barangan cenderahati dan sebagainya,” tambah beliau yang sudah bergiat dalam dunia kesenian kraf tangan anyaman ini selama lebih 10 tahun diiringi dengan senyuman manis.

Berpotensi besar

Datin Hajah Rosni binti Haji Tungkat selaku ketua rombongan Muslimah Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop yang telah membuat lawatan ke Kilang Sagu dan Galeri Warisan Kraf tangan Majlis Perundingan Mukim Ukong baru-baru ini melahirkan perasaan gembira dan teruja kerana berpeluang untuk menyaksikan hasil produk tempatan keluaran penduduk mukim berkenaan yang begitu menarik daripada sumber-sumber asli serta mempunyai keunikan yang tersendiri.

“Dengan adanya lawatan sebegini, ia secara tidak langsung dapat membantu mempromosi hasil karya kesenian melalui produk dan barangan penduduk mukim ini untuk dikenali oleh masyarakat di negara ini yang mana ia sememangnya mempunyai potensi yang sangat besar untuk dikembangkan dari masa ke semasa meliputi dunia keusahawanan dan juga tarikan pelancong,” jelasnya dengan nada penuh keyakinan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata baru-baru ini.

Oleh yang demikian, dengan adanya usaha yang padu dalam kalangan penduduk Mukim Ukong ini memperjuangkan sumber alam semula jadi dengan hasil produk dan barangan mereka itu sememangnya mampu membuka minda kita semua terutamanya setiap kampung dan mukim untuk sentiasa berusaha menghasilkan produk-produk yang pastinya mampu meningkatkan prestasi perekonomian diri, keluarga dan juga negara sama ada berbentuk makanan, kraftangan, herba-herba tradisional, produk kecantikan dan sebagainya.